Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd (GCH Retail) pengendali pasar raya premium Mercato terus komited mengukuhkan rangkaiannya di negara ini dengan membuka cawangan kelima di Great Eastern Mall.

Pengarah Bahagian Operasi Cawangan Mercato Malaysia dan Singapura, Mark Scates berkata, Mercato Great Eastern Mall menampilkan pelbagai produk baru yang lebih segar termasuk hasil tempatan dan luar negara.

Katanya, cawangan Mercato yang kelima ini dibuka di Great Eastern Mall kerana lokasinya strategik di kelilingi kawasan perumahan kedutaan luar negara serta pelanggan yang mencari produk tempatan dan antarabangsa.

"Kami di Mercato yakin dengan membawa produk, perkhidmatan, kemudahan dan nilai berkualiti tinggi untuk pelanggan membolehkan mereka mendapat pengalaman membeli-belah yang lebih sempurna terutama selepas kita melalui pandemik ini.

"Kedudukan Mercato Great Eastern Mall ini strategik dalam menyediakan pelanggan pengalaman luar biasa serta pelbagai pilihan produk tempatan dan luar negara terpilih.

"Selain itu, dalam tempoh dua minggu nanti kami akan membuka satu lagi cawangan Mercato menjadikan jumlah keseluruhannya enam rangkaian Mercato menjelang akhir tahun ini," katanya kepada media selepas pelancaran Mercato Great Eastern Mall di sini, hari ini.

Pengarah Operasi Kedai, Mark Scates melakukan lawatan bersama media ketika pembukaan pasar raya Mercato di Great Eastern Mall, Jalan Ampang. FOTO Amirudin Sahib
Pengarah Operasi Kedai, Mark Scates melakukan lawatan bersama media ketika pembukaan pasar raya Mercato di Great Eastern Mall, Jalan Ampang. FOTO Amirudin Sahib

Ditanya mengenai kos pelaburan bagi satu cawangan, Scates berkata, pihaknya memperuntukkan anggaran minimum RM1 juta untuk setiap cawangan, namun ia bergantung kepada saiz dan lokasi.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya sentiasa memahami keperluan pelanggan dengan memilih produk pilihan mereka serta menampilkan pengalaman premium di Mercato Great Eastern Mall.

"Kami bersedia untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada komuniti setempat dan berterima kasih terhadap semua sokongan yang diberikan oleh pelanggan dalam usaha kami selama ini," katanya.

Sempena pembukaan Mercato Great Eastern Mall, pelanggan boleh menikmati promosi eksklusif di mana bagi 1,000 pelanggan pertama yang membuat pembelian minimum RM100 dalam satu resit akan diberi beg kitar semula eksklusif Mercato.

Untuk mendapatkan lebih banyak promosi terkini dan menarik, layari Facebook Mercato Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 5:03 PM