TAJUDDIN (kanan) bersama Pegawai Operasi Bursa Malaysia, Rosidah Baharom.
TAJUDDIN (kanan) bersama Pegawai Operasi Bursa Malaysia, Rosidah Baharom.
Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: Bursa Malaysia Bhd (Bursa Malaysia), mengunjurkan keputusan bagi separuh kedua tahun kewangannya berakhir Disember 2017 kekal positif secara keseluruhannya bersandarkan prestasi ekonomi negara yang semakin pulih.

Ia sejajar dengan unjuran Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang menjangkakan ekonomi Malaysia mampu mencatatkan 4.8 peratus pertumbuhan tahun ini berbanding jangkaan awal 4.5 peratus yang diletakkan entiti berkenaan sebelum ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Tajuddin Atan berkata, aliran masuk dana asing juga dijangka kukuh sebanyak RM11.2 bilion menjelang berakhir tahun kewangan Bursa Saham 2017.

Beliau berkata, aliran masuk dana asing itu dipengaruhi perkembangan pasaran baru muncul yang semakin pulih dengan keadaan ekonomi yang mencabar sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Malah, Bursa Malaysia menerusi rekod prestasi kewangan separuh pertama 2017 yang berakhir Jun lalu, turut mencatatkan peningkatan 16.9 peratus keuntungan bersih kepada RM116.2 juta berbanding tempoh kajian sama tahun sebelumnya.

“Angka keuntungan bersih itu adalah prestasi terbaik dicatatkan sejak 2008 berikutan aktiviti perdagangan yang meningkat dalam semua segmen.

“Kami juga melihat ada minat baru dalam dana asing bagi tempoh berkenaan,” katanya pada taklimat media prestasi kewangan Bursa Malaysia separuh pertama yang berakhir Jun 2017, di sini, semalam.

Bursa Malaysia mengumumkan perolehan operasinya meningkat 8.5 peratus kepada RM269.4 juta berbanding tempoh sama tahun sebelumnya iaitu tertinggi dicatatkan sejak 2005.

Tajuddin berkata, daripada segi syarikat utama tempatan yang berhasrat disenaraikan separuh kedua tahun ini, pihaknya menjangkakan hanya ada satu saja syarikat bakal melaksanakannya.

Katanya, meskipun prestasi pada separuh pertama tahun ini dilihat baik dan membantu pencapaian Bursa Malaysia. Namun separuh kedua dijangka tidak dapat menyamai prestasi dicatatkan dalam tempoh berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Julai 2017 @ 3:19 AM