TAJUDDIN
TAJUDDIN
Mahanum Abdul Aziz

Kuala Lumpur: Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Bhd Datuk Seri Tajuddin Atan menjelaskan, kontrak perkhidmatannya akan tamat pada 31 Mac 2019 dan setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang panggilan atau spekulasi mengenai kedudukannya.

“Secara jujurnya, kami tidak akan mengulas kepada sebarang spekulasi. Perniagaan (di Bursa Malaysia) berjalan seperti biasa. Seperti anda tahu, kontrak saya akan tamat pada 31 Mac 2019,” katanya pada sidang media mengumumkan prestasi kewangan Bursa Malaysia bagi separuh pertama 2018 di sini, semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan media bahawa kerajaan akan menggantikannya.

Tajuddin berkata, Lembaga Pengarah Bursa Malaysia akan memastikan pengendali bursa itu mempunyai pelan penggantian kepemimpinan bagi memastikan syarikat terus stabil.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut sama ada Bursa Malaysia kini sudah mempunyai calon sebagai penggantinya.

Mengenai prestasi kewangan Bursa Malaysia pada separuh pertama berakhir 30 Jun 2018, Tajuddin berkata, keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) meningkat lima peratus kepada RM122.0 juta berbanding RM116.6 juta yang dicatatkan tempoh sama tahun lalu.

Beliau berkata, pertumbuhan PATAMI itu adalah berikutan pendapatan operasi yang tinggi sebanyak RM279.1 juta, tertinggi sejak ia disenaraikan pada 2005.

Keputusan memberangsangkan itu membolehkan Lembaga Pengarah Bursa Malaysia meluluskan dividen interim 14.0 sen sesaham dan dividen khas 8.0 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018.

Dalam tempoh dikaji, Bursa Malaysia mencatatkan purata nilai dagangan harian (ADV) tertinggi bagi Dagangan di Pasaran (OMT) sebanyak RM2.7 bilion, tertinggi sejak disenaraikan pada 2005.

Pada separuh pertama 2018, pendapatan dagangan Pasaran Sekuriti meningkat 5.6 peratus kepada RM146.5 juta berbanding RM138.8 juta, dipacu ADV tinggi bagi OMT.

Bagaimanapun, pendapatan dagangan Pasaran Derivatif jatuh 4.8 peratus kepada RM38.7 juta pada separuh pertama 2018 berbanding RM40.7 juta pada tempoh sama 2017, berikutan jumlah kontrak derivatif yang didagangkan rendah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Julai 2018 @ 10:24 AM