Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: Pengguna tiga institusi perbankan iaitu Maybank, AmBank dan Standard Chartered kini boleh menggunakan kaedah pembayaran baharu oleh Apple iaitu Apple Pay yang mula dilaksanakan di Malaysia, hari ini.

Bagi pemilik akaun Maybank, mereka boleh mengimbas kad debit atau kad kredit untuk menggunakan perkhidmatan Apple Pay manakala dua lagi institusi iaitu AmBank dan Standard Chartered hanya membolehkan kad kredit sahaja buat masa ini.

Perkhidmatan Apple Pay berkenaan sudah dilancarkan di 60 negara seluruh dunia termasuk yang terbaru di Malaysia.

Sistem pembayaran pintar itu menggunakan kaedah pengimbasan kad dan kaedah penyimpanan kad untuk perkhidmatan berkenaan sekali gus pengguna dapat menikmati pembayaran transaksi tanpa sebarang masalah.

KAEDAH pembayaran ApplePay kini boleh digunakan di Malaysia. FOTO Muhammad Saufi Hassan
KAEDAH pembayaran ApplePay kini boleh digunakan di Malaysia. FOTO Muhammad Saufi Hassan

Untuk menyimpan maklumat kad debit atau kad kredit berkenaan, pengguna hanya perlu meletakkan kad debit atau kad kredit di dalam ruang pengimbasan selepas memilih pilihan 'Wallet & Apple Pay' di dalam ruangan penetapan (setting).

Selepas itu, pengguna diminta untuk mengimbas kad debit atau kad kredit di dalam tetingkap disediakan sebelum kod keselamatan OTP dihantar kepada nombor telefon berdaftar dengan bank berkenaan.

Bagi menggunakan perkhidmatan Apple Pay, pengguna hanya perlu menekan dua kali di bahagian butang sebelah kanan dan peranti akan meminta pengesahan biometrik wajah atau kod pin untuk meneruskan transaksi.

Pengguna hanya perlu mendekatkan peranti pintar iaitu iPhone ataupun Apple Watch dengan terminal transaksi untuk melakukan pembayaran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Ogos 2022 @ 2:05 PM