TENGKU Zafrul (kiri) menerima anugerah daripada Gabenor Bank Negara Datuk Muhammad Ibrahim (tengah).
TENGKU Zafrul (kiri) menerima anugerah daripada Gabenor Bank Negara Datuk Muhammad Ibrahim (tengah).
myMetro

Kuala Lumpur: CIMB Bank Berhad (CIMB) diiktiraf sebagai institusi perbankan terbaik dalam sumbangannya menyokong pertumbuhan pembayaran secara elektronik apabila menerima anugerah Bank JomPAY Terbaik sempena Anugerah Kecemerlangan Pembayaran Elektronik Malaysia (MEEA) 2017, baru-baru ini.

Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, kejayaan kali kedua berturut-turut itu membuktikan usaha berterusan CIMB menjadi peneraju dalam perbankan digital di Malaysia.

“Anugerah ini mengiktiraf peranan CIMB sebagai peneraju pasaran yang proaktif membantu perniagaan dan organisasi untuk menguruskan aliran tunai mereka dengan cekap,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, CIMB komited untuk terus memacu pembayaran elektronik melalui penyediaan saluran alternatif kepada orang ramai melakukan transaksi yang diyakini, selamat dan berkesan mengikut keselesaan masing-masing.

“Kami fokus kepada usaha bagi menarik organisasi dan perniagaan kepada pembayaran elektronik dengan menjadi penyedia kepada negara untuk memulakan pelaksanaan ke arah ekonomi digital,” katanya.

CIMB diiktiraf pemenang anugerah tertinggi MEAA apabila menerima lima anugerah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mei 2017 @ 12:53 AM