ANUGERAH TalentCorp Life at Work 2019 membuktikan usaha berterusan syarikat dalam melaksanakan amalan modal insan terbaik.
ANUGERAH TalentCorp Life at Work 2019 membuktikan usaha berterusan syarikat dalam melaksanakan amalan modal insan terbaik.
Bisnes Metro
bisnes@hmetro.com.my

CIMB Group (CIMB) menerima pengiktirafan di anugerah TalentCorp Life at Work 2019 dengan menggondol tiga penghargaan utama bagi kategori Organisasi Terbaik Malaysia, Amalan Terbaik bagi Inisiatif Pembangunan Bakat dan Juara CEO.

CIMB dalam kenyataan berkata, anugerah itu membuktikan usaha berterusan syarikat dalam melaksanakan amalan modal insan terbaik dan mendorong kepelbagaian serta inklusif selaras nilai terasnya.

Ketua Pegawai Kakitangan Kumpulan CIMB, Datuk Hamidah Naziadin berkata, anugerah itu bersandarkan dasar sumber manusia CIMB yang progresif bagi mewujudkan ekosistem gender seimbang.

"Kami percaya kepelbagaian memperbaiki keputusan yang dibuat dan memberi kami kelebihan dalam memperkuatkan kepimpinan dan prestasi organisasi," katanya.

"Dengan menganggap kakitangan sebagai aset terpenting, CIMB juga komited untuk melengkapkan ekonomi digital menerusi pelbagai program meningkatkan kemahiran dan kemahiran semula, yang mana membolehkan kakitangan bersedia dalam menerima kemajuan dalam kerjaya.

"Kami bernasib baik kerana berkat kepimpinan CIMB yang diterajui Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz yang kini menjadi Menteri Kewangan dan dinamakan sebagai Juara CEO oleh TalentCorp, ia sangat menyokong usaha kami menanam kepelbagaian budaya dan digital dalam kumpulan," katanya.

Anugerah Life at Work dianjurkan setiap tahun oleh Kementerian Sumber Manusia menerusi agensinya, Talent Corporation Malaysia Bhd (TalentCorp) dengan kerjasama Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2020 @ 7:00 AM