HABIBAH Abdul Rahman
HABIBAH Abdul Rahman
Rudy Fazrunisyam Samarudin


KUALA LUMPUR: Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) (Menengah Atas) yang berkuat kuasa Januari depan adalah bagi menambah baik aliran sains dan sastera dalam sistem pendidikan sedia ada.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Dasar dan Kurikulum), Habibah Abdul Rahman berkata, dengan pengubahsuaian sistem sedia ada, pelajar menengah atas boleh memilih empat pakej mengandungi kombinasi mata pelajaran teras dan elektif pada penggal persekolahan baharu kelak.

Menurutnya, mata pelajaran elektif bergantung kepada sesebuah sekolah sama ada memiliki guru atau kemudahan untuk menawarkan mata pelajaran berkenaan.

“Pakej mata pelajaran menengah atas ini dibina berasaskan keperluan pelajar untuk menyambung pengajian ke peringkat tertiari seperti universiti, matrikulasi, tingkatan enam, politeknik dan institusi lepasan menengah lain.

“Pakej mata pelajaran itu juga memudahkan pihak sekolah membuat perancangan penawaran mata pelajaran yang sesuai bergantung kepada kemudahan dan guru di sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi taklimat kepada media berhubung pelaksanaan KSSM (Menengah Atas) pada Taklimat Berkaitan Penawaran Mata Pelajaran KSSM Tingkatan 4 Tahun 2020 di Bahagian Sumber Teknologi Pendidikan (BSTP) di sini, semalam.

Habibah berkata, mata pelajaran teras merangkumi Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik, Sejarah dan Pendidikan Islam/Moral.


Manakala mata pelajaran wajib ialah Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan.

Mata pelajaran elektif membabitkan bahasa, Pengajian Islam, Kemanusiaan dan Sastera Ikhtisas dan Sains, Teknologi, Kejuruteraan serta Matematik (STEM).

Habibah berkata, KSSM mula dilaksanakan secara berperingkat bermula dengan pelajar Tingkatan Satu pada tahun 2017 sebagai kohort pertama yang kini akan memasuki Tingkatan 4 pada tahun 2020.

Katanya, KSSM (Menengah Atas) dilaksanakan bertujuan memberi lebih banyak peluang kepada pelajar untuk mengikuti pengajian diminati di peringkat sekolah dan menggalakkan kemampuan mereka, selain memenuhi sasaran kerajaan bagi melahirkan lebih ramai tenaga berkemahiran tinggi dalam bidang STEM.

INFO

KSSM (Menengah Atas) dan (Pakej STEM)

-mengikuti lima mata pelajaran teras (Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Sains dan Pendidikan Islam atau Pendidikan Moral).

-mengikuti mata pelajaran wajib (Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan).

-mengambil semua mata pelajaran sains tulen (Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik Tambahan) atau dua mata pelajaran sains tulen dan Matemarik Tambahan dan sekurang-kurangnya satu mata pelajaran elektif STEM atau sekurang-kurangnya dua mata pelajaran elektif STEM atau satu daripada senarai mata pelajaran vokasional (MPV).

KSSM (Menengah Atas) dan (Pakej Sastera dan Kemanusiaan)

-mengikuti lima mata pelajaran teras (Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Sains dan Pendidikan Islam atau Pendidikan Moral).

-mengikuti mata pelajaran wajib (Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan).

-mengambil gabungan mata pelajaran terdiri daripada kumpulan elektif Bahasa, Pengajian Islam serta Kemanusiaan dan Sastera Ikhtisas atau satu mata pelajaran elektif STEM kecuali MPV.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 November 2019 @ 5:30 AM