BUDAYA kunjung mengunjung masih dikekalkan oleh generasi muda sempena Aidilfitri. FOTO Sairien Nafis.
BUDAYA kunjung mengunjung masih dikekalkan oleh generasi muda sempena Aidilfitri. FOTO Sairien Nafis.
Fazurawati Che Lah


TAHUN ini, pelajar di beberapa universiti awam (UA) menduduki peperiksaan selepas musim perayaan Aidilfitri.

Ini sesuatu yang baharu bagi majoriti pelajar kerana kebiasaannya peperiksaan akhir semester dilangsungkan sebelum perayaan itu.

Keadaan ini menimbulkan konflik kepada pelajar kerana mereka terpaksa membahagikan masa antara mengulang kaji pelajaran dengan meraikan Aidilfitri.

Bagi sesetengah pelajar, mereka memilih membahagikan cuti kepada dua bahagian iaitu sebelum dan ketika sambutan Aidilfitri.

Sebelum raya, mereka akan fokus kepada ulang kaji dan menikmati Aidilfitri tanpa perlu banyak memikirkan peperiksaan bakal dihadapi.Ada pula pelajar yang mengulang kaji pelajaran pada sebelah malam atau sekiranya mempunyai masa terluang ketika sambutan Aidilfitri.

Bagi pelajar Sarjana Muda Geologi, Universiti Malaya (UM), Hasbi Husein Sulkifli, 22, dia cenderung untuk menumpukan perhatian kepada proses ulang kaji sebelum hari raya.

“Memandangkan peperiksaan bagi UM dilangsungkan dua minggu selepas Aidilfitri, kami mempunyai masa yang agak panjang untuk melakukan persiapan.

AMALAN mengaji al-Quran boleh diamalkan pelajar ketika menduduki peperiksaan.
AMALAN mengaji al-Quran boleh diamalkan pelajar ketika menduduki peperiksaan.

“Saya merancang membahagikan persediaan kepada dua bahagian iaitu sebelum dan selepas Aidilfitri.

“Bagi persediaan sebelum Aidilfitri, saya akan memastikan semua tugasan termasuk laporan projek tahun akhir disiapkan dan dihantar serta melakukan seberapa banyak ulang kaji sebelum bergerak ke rumah saudara untuk meraikan hari raya,” katanya.

Pelajar tahun ketiga itu turut memendekkan cuti sambutan Aidilfitri bagi memastikan dia tidak ‘terbabas’ dan seronok berhari raya.

“Saya pendekkan cuti kepada lima hari saja iaitu bermula Ramadan terakhir sehingga Syawal keempat. Cuti selebihnya akan dimanfaatkan dan difokuskan dengan melakukan ulang kaji sekali lagi di kampus sebagai persiapan terakhir bagi menghadapi peperiksaan.

“Malah saya juga tidak pulang ke kampung halaman di Lahad Datu, Sabah dan hanya meraikan Aidilfitri di Klang iaitu rumah saudara,” katanya.

Katanya, apa pun cara yang digunakan, setiap pelajar seharusnya bijak membahagikan masa antara menyambut Aidilfitri dengan mengulang kaji pelajaran.

Berbeza pula dengan pelajar dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohd Irfandi Arifin, 23, yang terpaksa menduduki peperiksaan sebelum dan selepas Aidilfitri bermula 28 Mei lalu.

Katanya, pertama kali menghadapi peperiksaan dua sesi menyebabkan lebaran Rabu lalu hanya disambut di UUM.

“Saya berasal dari Kinabatangan, Sabah dan disebabkan peperiksaan akhir semester perlu diduduki sebelum serta selepas Aidilfitri, saya mengambil keputusan untuk beraya di UUM saja.

PERSIAPAN raya tidak ditinggalkan bagi memastikan Aidilfitri disambut meriah bersama keluarga.
PERSIAPAN raya tidak ditinggalkan bagi memastikan Aidilfitri disambut meriah bersama keluarga.

“Peperiksaan habis sekitar 20 Jun, menyebabkan ramai pelajar dari Sabah dan Sarawak tidak pulang ke kampung masing-masing kerana mahu menumpukan peperiksaan akhir ini,” katanya yang pertama kali beraya di perantauan.

Menurut penuntut Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Acara itu, tiada pe

rsiapan khusus Aidilfitri kali ini memandangkan dia jauh di perantauan dan kebanyakan masa dihabiskan untuk mengulang kaji serta menyiapkan tesis sebelum cuti semester bermula 21 Jun ini.

“Dua perkara perlu diselesaikan dalam minggu peperiksaan menyebabkan masa saya agak padat dalam memastikan kedua-duanya dilakukan dengan baik.

“Masa tidur banyak dikorbankan kerana ada kertas peperiksaan yang perlu saya duduki selama dua hari berturut-turut,” katanya.

Bagaimanapun, pengurusan masa harus bijak dan keputusan tidak pulang beraya ke kampung adalah penyelamat baginya kerana dia dapat menumpukan kedua-dua perkara itu.

“Sedih kerana ini kali pertama saya beraya jauh daripada keluarga, memikirkan peperiksaan dan tesis yang perlu disiapkan, selain kos penerbangan yang mahal menyebabkan saya mengambil keputusan untuk beraya di UUM sahaja.

PELBAGAI tugasan perlu dilaksanakan pelajar sebelum cuti semester.
PELBAGAI tugasan perlu dilaksanakan pelajar sebelum cuti semester.

“Raya ala kadar sahaja kerana banyak masa digunakan untuk ulang kaji dan menyiapkan tesis,” katanya.

Bagi pelajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Nuraina Mohd Atan, 23, sambutan Aidilfitri kali ini tidaklah semeriah tahun lepas kerana keutamaannya adalah untuk peperiksaan akhir semester.

Pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Sains dan Teknologi Sumber Dengan Kepujian (Kimia Sumber) itu berkata, sebagai pelajar, dia perlu menguatkan semangat dan sentiasa perbetulkan niat.

“Ketika saat mencabar inilah kita perlu bijak membahagikan masa. Jangan jadikan raya sebagai alasan untuk tidak menumpukan perhatian kepada ulang kaji. Hari raya pertama mungkin tidak belajar kerana mahu berseronok menyambut Aidilfitri bersama keluarga.

“Tetapi, hari kedua sudah mula belajar bermula seawal Subuh. Mungkin tidak dapat ulang kaji dengan banyak, sekurang-kurangnya lihat apa yang perlu supaya sentiasa bersedia,” katanya.

Nuraina yang berasal dari Kinabatangan berkata, menggunakan konsep satu subjek satu hari membolehkan dia mengulang kaji dengan baik bagi memastikan setiap maklumat tidak tercicir.

“Tapi, kena pastikan juga, subjek itu difahami betul-betul sebelum bertukar ke subjek lain, kalau tidak lagi banyak kena tengok dan baca.

“Sempena peperiksaan juga, kena rajinkan diri bangun Subuh kerana waktu itu badan segar dan kita senang menghafal, selain sentiasa mengaji al-Quran sepanjang peperiksaan berlangsung,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Jun 2019 @ 11:02 AM