TEMPUHI peperiksaan dengan tenang.
TEMPUHI peperiksaan dengan tenang.
Fazurawati Che Lah

Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bakal tiba tidak lama lagi, sudah pasti calon iaitu pelajar tingkatan lima berdebar-debar menanti peperiksaan itu.

Berbaki tidak sampai dua minggu lagi untuk ‘bertempur’, adakah pelajar sudah bersedia dari segi mental dan fizikal? Apa yang harus dilakukan dalam tempoh yang singkat itu?

Adakah masih sempat untuk menelaah sembilan hingga 12 subjek dalam tempoh singkat ini? Ayat seperti ini sering kedengaran keluar daripada mulut calon pada setiap tahun.

SPM ialah peperiksaan yang bakal menentukan ke manakah hala tuju pelajar pada masa akan datang. Oleh itu, peperiksaan berkenaan memainkan peranan yang sangat besar dalam kehidupan mereka.

Harapan daripada keluarga dan guru sudah semestinya menambahkan kegusaran di hati calon untuk memberikan keputusan yang terbaik kelak.

Mengulas lanjut, Pensyarah Kanan, Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM) Dr Mohd Nazri Abdul Rahman, berkata menerusi kemajuan teknologi, pelajar dengan mudah dapat berkongsi soalan peperiksaan percubaan dari semua negeri.

Katanya, soalan peperiksaan sekolah terpilih banyak terdapat di blog, portal atau web yang berkongsi soalan peperiksaan percubaan untuk dijadikan soalan ulang kaji dan latih tubi.

LAKUKAN latih tubi pada minggu akhir.
LAKUKAN latih tubi pada minggu akhir.

Skop soalan sebenar

“Manfaatkan sepenuhnya soalan ini, sebahagian besar soalan peperiksaan percubaan negeri mahupun sekolah kluster kecemerlangan digubal dan disusun oleh guru pakar, guru cemerlang atau penggubal soalan yang berpengalaman, maka ia meliputi skop soalan sebenar peperiksaan.

“Jadi, jangan pula meramal lagi soalan yang bakal keluar sebaliknya, buat latih tubi dan ulang kaji keseluruhan soalan ini. Berbincang dan semak setiap jawapan. Selalunya soalan ini lengkap dengan skema pemarkahan dan panduan jawapan,” katanya.

Beliau berkata, semua sedia maklum soalan peperiksaan sentiasa dalam skop yang hampir sama bagi tempoh lima tahun.

Oleh itu, katanya, calon juga perlu merancang ulang kaji sama ada sendirian atau berkumpulan secara terancang dan sistematik.

Katanya, mulakan ulang kaji secara sendiri disusuli dengan perbincangan dalam kumpulan kecil topik yang dipelajari.

MENELAAH pelajaran bersama rakan mampu memudahkan pemahaman.
MENELAAH pelajaran bersama rakan mampu memudahkan pemahaman.

“Sebaik saja selesai ulang kaji secara sendiri, terangkan atau jelaskan kepada rakan topik yang baharu diulang kaji. Ini akan mengukuhkan lagi pemahaman terhadap sesuatu topik itu.

“Boleh juga ulang kaji dimulakan secara berkumpulan terlebih dulu, masing-masing membaca sesuatu topik dan kemudiannya mengajar atau menjelaskan topik itu kepada kumpulan.

“Semakin banyak persoalan yang diajukan oleh rakan, semakin bertambah pemahaman berkaitan topik yang dibincangkan. Sebaik saja pulang ke rumah, lakukan sekali lagi ulang kaji topik itu untuk membantu mengingat dan seterusnya memperkukuhkan pemahaman anda,” katanya.

BERDOA supaya dipermudahkan peperiksaan.
BERDOA supaya dipermudahkan peperiksaan.

Manfaat teknologi digital

Tegas beliau, perbincangan kumpulan pula jangan terlampau lama dan ramai kerana ia mungkin akan bertukar kepada sesi bersembang, gosip dan bercerita serta hadkan antara satu hingga tiga jam saja.

Katanya, pelajar juga perlu memanfaatkan kemajuan teknologi digital, video dan pelbagai medium pembelajaran berasaskan teknologi kerana secara tidak langsung mempermudahkan pelajar mengingat dan memahami apa yang dipelajarinya.

Beliau berkata, segala apa yang dipelajari di dalam buku dapat dilihat secara jelas dan difahami dengan mudah melalui video atau paparan info grafik menerusi teknologi digital.

“Selain itu, kaedah lama turut membantu kerana kadangkala otak kita terlupa untuk mengingat sesuatu walaupun ia sesuatu yang menjadi rutin maka dengan anda nota ringkas sama ada lakaran, catatan berwarna atau membuat akronim sesuatu peristiwa akan membantu memperkukuhkan daya ingatan terhadap apa yang anda pelajari,” katanya.

DATANG awal ke dewan peperiksaan.
DATANG awal ke dewan peperiksaan.

Jelas beliau lagi, bagi pelajar yang tidak berupaya menelaah semua subjek, boleh fokus kepada subjek pilihan serta utama dalam memastikan mereka berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat universiti dalam bidang pilihan.

“Oleh itu, mereka juga perlu tahu merit pengiraan masuk ke universiti serta subjek pilihan yang diperlukan, ia akan menjadikan calon lebih bermotivasi serta bersedia untuk mengulangkaji dengan lebih baik dalam satu-satu subjek.

“Bagaimanapun, jangan tinggalkan subjek yang lain dan perlu juga fokus bagi memastikan semua subjek dapat meraih keputusan cemerlang,” katanya.

Beliau berkata, persediaan menghadapi peperiksaan juga tidak hanya terhad kepada mempersiapkan diri dengan keperluan akademik semata-mata, sebaliknya calon juga perlu memastikan sentiasa berada dalam keadaan sihat, mengambil makanan berkhasiat, istiqamah, beriadah, menjaga keselamatan diri dan seterusnya memastikan diri sentiasa positif untuk menduduki peperiksaan.

SETIAP calon mengimpikan kecemerlangan dalam SPM.
SETIAP calon mengimpikan kecemerlangan dalam SPM.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Oktober 2018 @ 2:37 PM