PELAJAR Malaysia yang beraya di bumi Moscow.
PELAJAR Malaysia yang beraya di bumi Moscow.
Fazurawati Che Lah


BERJAUHAN dengan keluarga antara dugaan paling besar perlu ditempuh pelajar yang berada di perantauan.

Lebih-lebih lagi Aidilfitri bakal disambut dua hari lagi, ada antara mereka yang tidak berpeluang pulang ke tanah air atas pelbagai faktor.

Namun semua itu perlu dihadapi dengan sabar demi mengejar impian dan masa depan.

Bestari berkesempatan menemu bual beberapa mahasiswa Malaysia yang melanjutkan pengajian di luar negara.

Pelajar jurusan kejuruteraan Sosial, Sayyid Muhammad Al Baqir Al Munawwar, 25, dari University of Tsukuba, Ibaraki, Jepun berkata, sudah enam tahun dia menyambut Syawal di bumi sakura kerana tiada cuti khas diberikan untuk menyambut perayaan itu, sekali gus menyebabkan dia tidak dapat pulang berhari raya bersama keluarga di Malaysia.

“Kami pelajar di Jepun tidak pernah berpeluang bercuti setiap kali raya. Bermakna kelas berjalan seperti biasa.

“Selesai solat hari raya, ada antara kami yang bergegas ke kelas. Namun kami memahami dan menerima situasi ini dengan hati yang reda memandangkan kami bukan berada di negara Islam,” katanya.

Anak jati Bandar Baru Selayang, Selangor itu berkata, bagi mengubat kerinduan terhadap keluarga, dia memakai jubah atau baju Melayu putih yang menjadi tradisi pakaian keluarganya pada hari raya.

“Bagi melepaskan kerinduan, saya akan menelefon keluarga seusai solat hari raya secara panggilan video.

“Jika tiada kelas, ada kala saya menyambut hari raya di Kedutaan Malaysia di Tokyo atau bersama keluarga Muslim di Tsukuba,” katanya.

Sementara itu, rakannya, pelajar ijazah doktor falsafah PhD), Siti Hafsah Zulkarnain bakal menyambut Aidilfitri pertama di luar negara bersama suami tanpa ditemani anak.

NUR QISTINA (kanan) bersama rakan bersama juadah Aidilfitri.
NUR QISTINA (kanan) bersama rakan bersama juadah Aidilfitri.

“Ini kali pertama 1 Syawal saya berjauhan daripada anak dan keluarga, sambutan tidaklah semeriah yang kita rayakan di Malaysia. Saya dan suami hanya membawa sepasang baju Melayu lengkap dan baju kurung untuk dipakai pada pagi raya.

“Kami bercadang menyambut Aidilfitri di Kedutaan Malaysia di Tokyo bersama-sama seluruh warga Malaysia yang berada di Jepun,” katanya.

Katanya, beliau pertama kali menjalani puasa yang agak lama sehingga 17 jam, namun tidak menjejaskan aktiviti kuliah.

“Sepanjang Ramadan, saya dan suami bersahur setiap hari seawal jam 1.30 pagi dan berbuka pada jam 6.40 petang waktu Tsuksuba. Keadaan cuaca yang nyaman dengan suhu sekitar 17 hingga 20 darjah Celsius memberikan keselesaan untuk kami berpuasa.

“Rutin pengajian saya di universiti tidaklah begitu padat. Setiap pagi saya akan ke makmal menjalankan kerja penyelidikan dan penulisan sepanjang hari bersama rakan lain. Di dalam makmal itu hanya tiga orang pelajar yang beragama Islam,” katanya.

Bagi anak kelahiran Kulai, Johor, Nur Qistina Nabihah Ahmad Zaki, 25, yang mengikuti program perubatan di First Moscow State Medical University, Russia berkata, bagi merasai kemeriahan sambutan Aidilfitri, dia bersama rakan serumah akan menyediakan juadah hari raya seperti biskut pada dua minggu akhir Ramadan.

“Ini kali keempat saya beraya di sini. Jadi untuk mengubat kerinduan kepada suasana hari raya di kampung halaman, saya dan rakan serumah merancang melakukan persediaan awal bagi merasai kemeriahan Aidilfitri.

“Selalunya, cuti semester saya akan balik ke tanah air jadi segala barang untuk sambutan hari raya akan dibawa siap-siap dari Malaysia,” katanya.

Dia bersyukur kerana terdapat ramai pelajar dari Malaysia yang beraya di Russia iaitu dianggarkan 500 orang.

“Sambutan perayaan di Kedutaan Malaysia di sini agak meriah, kami dihidang pelbagai juadah hari raya, sekali gus dapat melepaskan kerinduan kepada kampung halaman,” katanya.

Menurut anak sulung daripada empat beradik itu, puasa yang panjang sehingga 19 jam memberi cabaran kepadanya kerana waktu malam yang singkat menyebabkan dia berdepan masalah tidak cukup tidur.

SEBAHAGIAN pelajar Malaysia di United Kingdom beraya di perantauan.
SEBAHAGIAN pelajar Malaysia di United Kingdom beraya di perantauan.

“Malam hanya lima jam, saya kena bahagikan masa dengan sebaiknya bagi memastikan ibadat puasa seperti sahur dan Tarawih juga dapat dilaksanakan.

“Walaupun kurang tidur, syukur rutin kelas masih diteruskan seperti biasa. Suhu yang sederhana kira-kira 20 darjah Celsius membolehkan kami meneruskan puasa dengan baik,” katanya.

Peperiksaan semester kali ini memberi cabaran kepada Shauqina Mohd Zaffarin, 23, dari University of Leeds, United Kingdom apabila jatuh pada bulan puasa dengan cuaca yang sejuk sehingga 17 darjah Celsius.

Selain cabaran cuaca yang sejuk, tempoh puasa yang panjang sehingga 18 jam turut menguji fizikal dan mentalnya.

“Tahun sebelum ini, peperiksaan jatuh ketika di penghujung puasa berbeza pula dengan tahun ini.

“Mula-mula agak susah juga hendak biasakan masa itu untuk memastikan amalan ibadat Ramadan dapat dipenuhi memandangkan waktu malam yang pendek iaitu enam jam sahaja.

“Saya dan rakan akan solat Tarawih secara berjemaah di rumah sahaja dan akan mencuba supaya semuanya diselesaikan pada jam 11 malam supaya kami mendapat tidur yang cukup, selain dapat bangun untuk bersahur,” katanya.

Katanya, berikutan siang panjang, dia akan memastikan waktu itu dipenuhi dengan belajar bermula dari jam 8 pagi sehingga 6 petang atau 7 malam sebelum membuat persediaan berbuka pada jam 9.30 malam.

Anak jati Rantau, Negeri Sembilan itu berkata, Aidilfitri kali akan disambut di bumi United Kingdom dan menjadi pengalaman pertama selepas tiga tahun di universiti berkenaan.

“Dua tahun sebelum ini saya berpeluang pulang ke kampung halaman untuk beraya, walaupun sedih tetapi saya juga teruja kerana buat pertama kali merasai pengalaman merewang dan beraya dengan kawan dari Malaysia.

“Beberapa perancangan sudah dibuat, selain buat kuih raya, ketupat serta rendang, kami sepakat untuk melawat beberapa tempat sekitar United Kingdom sempena cuti raya nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Jun 2019 @ 11:52 AM