Aizat Sharif


Arau: "Tiada apa yang lebih menggembirakan hati saya selain dapat pulang beraya bersama keluarga di kampung". Itu luahan pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Siti Hajar Hassan, 18, yang menjadi kumpulan pelajar pertama daripada 1,927 pelajar UniMAP yang dihantar pulang semalam ke kampung halaman bagi menyambut Aidilfitri.

Penuntut Diploma Kejuruteraan Komputer itu menyifatkan peluangnya untuk pulang ke kampung halamannya di Tumpat, Kelantan, tidak harus dilepaskan meskipun menyedari keadaan di negerinya itu kini berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Saya sedar akan keadaan itu (PKP) tetapi peluang untuk berhari raya bersama keluarga adalah sesuatu yang tidak boleh saya lepaskan dan apabila UniMAP membuka peluang kepada pelajar memilih untuk peluang, saya tidak berfikir panjang.

"Namun begitu, cuti Aidilfitri pada kali ini lebih kepada saya gunakan untuk mengulang kaji pelajaran kerana selepas ini kami yang jurusan diploma tidak perlu pulang semula ke kampus, sebaliknya hanya akan mengikuti pembelajaran secara dalam talian sahaja selepas ini," katanya ketika ditemui di Kolej Kediaman Tuanku Tengku Fauziah, UniMAP Pauh Putra, di sini, semalam.

Rakannya, Fariz Rosli, 18, pula bersyukur kerana dapat pulang ke pangkuan keluarga di Besut, Terengganu, meskipun dimaklumkan agak lewat oleh pengurusan universiti berkenaan program ini.

PENUNTUT beratur untuk menaiki bas. FOTO Aizat Sharif
PENUNTUT beratur untuk menaiki bas. FOTO Aizat Sharif

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UniMAP, Prof Ir Ts Dr Mohd Rizal Arshad berkata, 1,927 pelajar yang dihantar pulang ke kampung ini sudah dibahagikan kepada empat zon iaitu Zon Pantai Timur, Zon Selatan, Zon Utara dan Zon Tengah.

"Zon ini masing-masing mewakili Kelantan dan Terengganu, Johor, Melaka dan Negeri Sembilan, Perak, Pulau Pinang dan Kedah, serta Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya dan Pahang.

"UniMAP menyediakan 20 bas bagi menghantar pelajar ke destinasi yang dikenal pasti bagi membolehkan mereka kembali ke pangkuan keluarga untuk berhari raya.

"Malah bagi mematuhi SOP yang ditetapkan, kita juga turut melaksanakan pembahagian penghantaran zon pada masa yang berbeza bermula semalam hingga esok (9 Mei)," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau yang kini menjalankan tugas sebagai Naib Canselor UniMAP buat sementara waktu berkata, inisiatif menyediakan bas kepada pelajar adalah untuk memastikan keselamatan pelajar terjamin.

"Hanya tiga kaedah penghantaran sahaja yang dibenarkan iaitu melalui kenderaan sendiri, diambil oleh ibu bapa atau penjaga dan pengangkutan yang disediakan oleh UniMAP.

"Oleh itu, penggunaan pengangkutan awam tidak dibenarkan sama sekali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Mei 2021 @ 8:24 AM