HAMIZAH sekeluarga bergambar di hadapan rumah Duta Malaysia di Ireland.
HAMIZAH sekeluarga bergambar di hadapan rumah Duta Malaysia di Ireland.
Siti Zarinah Sahib


SAMBUTAN lebaran sangat nostalgia dan cukup bermakna bagi setiap individu. Walau di mana seseorang itu berada, hari raya pastinya tetap disambut meriah bersama keluarga.

Bagi Hamizah Mohd Yunos dan Arfah Ahmat, pengalaman menyambut lebaran di Ireland bukan sahaja meninggalkan detik bermakna sebaliknya menerbitkan rasa kesyukuran yang tidak terhingga apabila dapat pulang ke kampung bertemu keluarga. Bagi mereka walaupun berada beribu batu jauhnya dari kampung halaman namun makanan dan budaya masyarakat mendekatkan mereka dengan suasana raya sebenar seterusnya mengeratkan hubungan antara satu sama lain.

Hamizah berkata, pengalaman beraya di luar negara sudah sebati dalam dirinya sejak dia menetap di Dublin, Ireland 15 tahun lalu. Dia mula bertugas sebagai pakar kanak-kanak komuniti di Hospital Dublin sebaik menamatkan pengajian pada 2009.

Sejak itu dia tidak lagi berpeluang beraya di kampung halaman di Johor Baharu sebaliknya menyambut lebaran bersama suami, Ruzaimi Ramza Ramli dan anak-anak mereka di Dublin disebabkan kekangan kerja serta cuti yang tidak menentu.

“Sejak menetap di Dublin, hanya sekali saya berpeluang berhari raya di Malaysia iaitu pada 2009, tetapi ketika itu saya masih bujang. Apabila sudah berkerja dan berkeluarga agak sukar mengambil cuti apatah lagi anak sudah bersekolah,” katanya.

Mengakui pada mulanya dia rasa sedih dan sayu setiap kali mendengar takbir ditambah bayangan orang tua di kampung, namun lama-kelamaan perkara itu menjadi kebiasaannya.

“Siapa tidak sedih apabila tidak dapat bersalaman ibu bapa pada pagi Syawal. Selalunya saya akan membuat panggilan video untuk bercakap dan menatap wajah mereka. Ibu biasanya tidak akan menceritakan apa yang dia masak kerana tidak mahu saya sedih,” katanya.

Menurut Hamizah, melihat suasana Aidilfitri di Ireland hatinya sedikit terubat. Ini kerana ramai komuniti Melayu di sana. Jadi jemputan menghadiri rumah terbuka sangat banyak sekurang-kurangnya lima rumah sehari dengan pelbagai hidangan enak daripada menu istimewa yang disajikan.

“Di sini tiada masalah makanan kerana kebanyakan rakan sudah lama menetap di sini. Jadi mereka berkebolehan menyediakan hidangan mengikut kepakaran masing-masing,” katanya.

Untuk hidangan raya Hamizah sekeluarga, biasanya suami yang menyediakannya. Tahun ini mereka merancang menyediakan rendang dan ketupat segera yang dibeli di Malaysia bersama kuah kacang.

Untuk hidangan sampingan kuih raya kebiasaannya ibu kepada dua cahaya mata ini membeli daripada rakan-rakannya yang berniaga sebagai tanda sokongan kepada mereka.

ARFAH dan suami ketika berhari raya di Kedutaan Malaysia di Ireland.
ARFAH dan suami ketika berhari raya di Kedutaan Malaysia di Ireland.

Mengenai persiapan baju raya pula setiap kali pulang ke Malaysia Hamizah terus membeli baju kurung untuk dirinya dan anak-anaknya yang akan dipakai pada lebaran untuk tahun akan datang.

“Baju kurung tidak perlu disediakan dalam jumlah yang banyak kerana ia hanya dipakai sekiranya ada keraian. Begitu juga anak-anak kerana mereka cepat membesar,” katanya.

Menceritakan suasana Syawal di sana, jelas wanita ini dia dan suami akan menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid berdekatan rumah kemudian beraya ke rumah sahabat karib. Namun bukan setiap tahun dia berpeluang beraya kerana semuanya bergantung kepada jadual tugasan. Jika hari raya jatuh pada hari bekerja Hamizah akan beraya di hospital.

Mengakui Ramadan yang masih berbaki empat hari ini dilalui dengan penuh kesyukuran, jelas Hamizah, oleh kerana puasa jatuh pada musim panas jadi waktu siang lebih panjang berbanding malam. Kebiasaannya Subuh bermula pada jam 3 pagi dan Maghrib 9.37 malam. Waktu siang akan lebih panjang menjelang penghujung Ramadan.

“Alhamdulillah, Allah banyak membantu. Cuaca pula sangat baik tidak panas dan tidak terlalu sejuk. Jadi kurang rasa lapar dan haus. Berpuasa dalam tempoh yang panjang begini pengambilan makanan sangat penting bagi mengekalkan tenaga. Tidak boleh makan ikut nafsu. Jika terlalu banyak akan menyebabkan sukar untuk tidur dan solat.

“Biasanya waktu sahur saya dan suami mengambil bijirin bersama susu dan kurma yang dikisar bersama. Kombinasi makanan ini sangat bagus kerana bijirin oat adalah hidangan pemberi tenaga jadi dapat mengelak rasa lapar berpanjangan,” katanya.

Untuk anak-anak pula oleh kerana Rhea Aireen berusia lima tahun manakala Rhys Alfie tiga tahun mereka belum boleh berpuasa namun mereka faham mengenai Ramadan apabila melihat ibu bapanya tidak makan dan minum pada siang hari.

“Cara didikan saya kepada anak-anak sama seperti didikan ibu bapa saya dahulu. Mereka hanya boleh menonton televisyen pada hujung minggu. Setiap malam saya akan mengajar mengaji al-Quran dan memantau mereka menyiapkan kerja sekolah.

“Mereka juga faham sedikit bahasa Melayu. Saya sering menerangkan apa yang saya lakukan dan mereka juga rajin bertanya,” katanya yang akan mencari peluang pulang ke Malaysia sekali setahun bagi bertemu ibu bapanya.

TIADA DUIT RAYA UNTUK ANAK

Menetap di Mullingar co Westmeath, Ireland sejak tiga tahun lalu, bagi Arfah Ahmat sambutan Aidilfitri tetap meriah meskipun tinggal berjauhan dari keluarga tersayang.

Sebagai suri rumah sepenuh masa, Arfah yang mengikut suami, Mohd Faizal Abdullah Sani yang bekerja sebagai cef di Mullingar mengakui biarpun ada rasa rindu kepada keluarga di kampung, namun dia bersyukur kerana di kelilingi rakan-rakan Muslim yang sangat memahami serta berkongsi rasa yang sama.

“Kami menetap di Mullingar, Ireland dengan hampir 30 peratus adalah orang Muslim. Mereka dari Pakistan, Syria dan United Kingdom. Setiap kali Aidilfitri menjengah kami akan berkumpul seperti satu keluarga besar.

“Ini menyebabkan rasa sedih itu melayang jauh dan digantikan dengan kesyukuran kerana masih dapat meraikan hari penuh bermakna ini,” katanya yang akan menelefon ibunya setiap pagi lebaran bagi bertanya khabar.

Mengenai persiapan raya pula, Arfah yang berasal dari Port Dickson, Negeri Sembilan sudah membeli sepasang baju untuk anak-anak Muhammad Ameen, 5, Marissa Aqilah, 3, dan Muhammad Affan yang berusia sebulan.

“Ia termasuk baju saya dan suami yang ditempah di Malaysia. Apabila sudah siap saya minta kakak poskan ke sini. Baju tradisional tiada dijual melainkan membeli menerusi dalam talian.

“Untuk kuih-muih pula setiap tahun saya buat sendiri dan ada juga yang saya beli dari kawan yang berniaga di sini. Untuk tahun ini oleh kerana tempoh berpantang belum habis jadi persiapan raya ala kadar sahaja dengan kuih-muih kebanyakannya saya beli dari kawan,” katanya.

Menyambut raya untuk tahun kedua di perantauan jelas Arfah, suasana pagi Syawal di Mullingar sama seperti di Malaysia. Dia dan suami akan menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid berhampiran kemudian menikmati pelbagai juadah dari Pakistan seperti nasi beriani, ayam karahi dan sheer khurma yang dihidangkan untuk jemaah masjid.

“Namun hidangan raya seperti rendang dan nasi himpit tetap ada disebabkan ramai orang Melayu tinggal di sini. Selepas menikmati pelbagai hidangan ini baru kami beraya di rumah kawan-kawan dari Malaysia. Kemeriahannya sama seperti di Malaysia bezanya tiada keluarga di sisi,” katanya.

Mengakui terdapat sedikit perbezaan dalam sambutan raya apabila anak-anak tidak diberikan duit raya sebaliknya coklat sebagai pengganti.

“Memahami akan situasi ini anak-anak tidak pernah bertanya apatah lagi meminta. Mereka sudah faham di sini budayanya tidak sama dengan Malaysia. Orang dewasa pula saling berpelukan apabila bertemu dan mengucapkan tahniah sesama sendiri.

Arfah dan suami, Mohd Faizal Abdullah Sani merancang untuk pulang ke Malaysia setiap dua tahun sekali bagi menziarahi keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mei 2019 @ 5:05 AM