MOHD Azrul bersama isteri yang memangku Nur Hayfa menyambut lebaran di Shanghai, China.
MOHD Azrul bersama isteri yang memangku Nur Hayfa menyambut lebaran di Shanghai, China.
Mahaizura Abd Malik


DUA keluarga ini tiada masa memikirkan fesyen dan warna pakaian harus dipakai di pagi Aidilfitri, menu juadah menjamu selera mahupun giliran balik kampung seperti kelaziman kita meraikan sambutan perayaan itu.

Bagi mereka rawatan demi kelangsungan nyawa darah daging mereka yang sedang berjuang melawan penyakit masing-masing lebih penting walaupun buat pertama kali menyambut Aidilfitri di hospital.

Nor Shahidah Chit Wan, 38, berkata, dia dan suaminya, Mohd Azrul Ahmad,40, berkorban meninggalkan dua anak di Malaysia kerana membawa anak bongsu, Nur Hayfa, 2, yang menghidap Biliary Atresia atau kegagalan fungsi hati mendapatkan rawatan di Shanghai, China, 13 Mei lalu.

“Kami tiga beranak berkampung di Hospital Renji sejak pertengahan Mei lalu dan saya dan Hayfa selamat menjalani pembedahan pemindahan hati, 28 Mei lalu.

“Memang sedih berjauhan dengan dua anak yang dijaga ibu saya, tetapi demi menyelamatkan nyawa Hayfa kami sanggup berkorban.

ZULAIKHA menghidap masalah sistem imun badan tidak stabil.
ZULAIKHA menghidap masalah sistem imun badan tidak stabil.

“Alhamdulillah pengorbanan kami berbaloi, keadaan Hayfa semakin normal selepas pemindahan hati,” katanya.

Katanya, mereka tidak menjangka menyambut Aidilfitri di perantauan, segalanya berlaku secara mengejut apabila usaha mengumpul dana rawatan Nur Ayfa dipermudahkan menerusi bantuan Nadi Permata Malaysia.

“Kuasa Allah menggerakkan kami bertemu dengan Nadi Permata Malaysia yang membantu mencukupkan dana seterusnya membawa Hayfa segera ke Shanghai.

“Jadi, kami tidak sempat menyediakan pakaian raya apatah lagi memikirkan soal sambutan raya.

“Alhamdulillah kini, keadaan anak kami beransur baik dan stabil, saya macam tidak percaya anak kembali normal sedangkan selama ini hampir putus asa melihat peluangnya tipis,” katanya yang berterima kasih kepada Nadi Permata dan rakyat Malaysia yang membantu kos rawatan anaknya.

Sementara itu, Haffiszattul Nur Akmar Samsudin, 30, dan suaminya Sheikh Muhammad Bukhary Sheikh Basir, 33, juga menyambut Aidilfitri di sebuah hospital di Petaling Jaya demi bayi mereka berusia 17 bulan, Sheikha Zulaikha yang menghidap Hemophagocytic Lymphohistiocytosis (HLH) atau masalah sistem imun badan tidak stabil.

NUR Hayfa mengalami penyakit kegagalan fungsi hati.
NUR Hayfa mengalami penyakit kegagalan fungsi hati.

“Memang kami tidak membuat persiapan. Kami cuma pakai apa yang ada kerana sudah berkampung di hospital sejak April lalu.

“Sungguhpun begitu, kami bersyukur dan gembira masih dapat berhari raya bersama Zulaikha walaupun di hospital.

“Kami tidak ralat tidak dapat beraya macam selalu, apa yang lebih penting keadaan kesihatan Zulaikha supaya pemindahan sum-sum tulang dijadualkan Selasa depan berjaya bagi menyelamatkan nyawanya,” katanya.

Menurutnya, sokongan orang sekeliling menguatkan lagi semangat mereka walaupun tidak dapat menyambut Aidilfitri bersama keluarga masing-masing.

“Suami menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid dekat hospital dengan baju Melayu pemberian adik.

“Keluarga kami juga menghantar juadah, malah pelajar saya di Kuala Lumpur turut membawa makanan,” katanya.

Katanya, ketika ini mereka bertiga dikuarantin di bilik khas bagi mengelak jangkitan dan kemudaratan kesihatan Zulaikha dan suaminya sebagai penderma sum- sum tulang anak mereka.

“Zulaikha dalam pemantauan pakar dan menjalani pra kemoterapi untuk menghapuskan sel darah yang meneutralkan HLH serta mengosongkan sum-sum tulangnya sebagai persediaan prosedur pemindahan.

“Suami pula sudah bersedia mental dan fizikal. Dia akan menjalani suntikan menyuburkan sum sum tulangnya empat hari lebih awal sebelum prosedur pemindahan,” katanya.

Haffiszattul Nur Akmar berkata, dia dijangka melahirkan anak kedua selewat-lewatnya 24 Jun ini di hospital sama menjadikan mereka sekeluarga bakal dirawat di wad berlainan.

“Memang ini dugaan berganda buat kami tiga beranak yang akan dirawat di wad berlainan nanti tetapi kami akan harungi bersama demi Zulaikha.

“Saya mohon rakyat Malaysia mendoakan keadaan Zulaikha stabil hingga pemindahan berjaya,” katanya menambah dana rawatan masih belum mencukupi.

Orang ramai yang ingin meringankan beban keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun semasa Maybank 506016887265 atas nama Haffiszattul Nur Akmar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Jun 2019 @ 6:30 AM