PELAJAR sedang melihat cara-cara membuat ketupat sebelum mereka melakukannya sendiri.
PELAJAR sedang melihat cara-cara membuat ketupat sebelum mereka melakukannya sendiri.
Suliati Asri


Pulang ke kampung halaman untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga pastinya menjadi impian semua.

Tatkala ramai mahasiswa yang pulang ke kampung masing-masing bagi meraikan Aidilfitri bersama keluarga, ada sesetengahnya terutama pelajar antarabangsa tidak punya peluang itu.

Walaupun beraya di perantauan, namun itu tidak bermakna kemeriahan suasana Aidilfitri berlalu begitu saja.

Justeru sempena Aidilfitri ini, Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) menganjurkan Program Pengisian Aidilfitri bagi memberi peluang kepada 150 pelajar antarabangsa yang tidak berpeluang pulang berhari raya bersama keluarga di kampung halaman.

Selain merasai sendiri persiapan menyambut Aidilfitri, program ini juga diatur bagi mendalami dan mempelajari cara membakar kuih sepit dan menganyam ketupat.

Menurut Rektor KUIPs, Profesor Dr Muhamad Rozaimi Ramle, peluang yang diberikan ini diharap dapat memberi gambaran dan perkongsian budaya di Kampung Warna-Warni Kuala Perlis.

Katanya, kedudukan kampus yang berdekatan dengan kampung ini memudahkan lagi penganjuran program ini.

PELAJAR sedang membakar kuih sepit.
PELAJAR sedang membakar kuih sepit.

"Saya yakin 150 pelajar antarabangsa yang tidak pulang berhari raya bersama keluarga mereka turut merasakan kemeriahan aidilfitri dengan program yang diatur ini,"

"Pihak KUIPs juga menyediakan jamuan raya kepada mereka selepas solat Aidilfitri di kedua-dua surau di kampus Kuala Perlis dan Pauh," katanya.

Selain mempelajari cara-cara membuat kuih sepit dan ketupat palas, pelajar turut sama menyediakan bubur lambuk dan menyediakan makanan untuk berbuka.

Antara pengisian lain termasuklah mempelajari dan menyediakan menu popular ketika sambutan Aidilfitri termasuklah laksa goreng.

PELAJAR antarabangsa yang tidak pulang beraya bergambar kenangan di pagi 1 syawal.
PELAJAR antarabangsa yang tidak pulang beraya bergambar kenangan di pagi 1 syawal.

Ketika program ini berlangsung, peluang yang diberikan kepada pelajar untuk turut sama dalam pelbagai program meninggalkan momen indah buat mereka.

Pelajar dari Yaman, Amgad Nabil berkata, program yang dianjurkan itu nyata memberi pengalaman baru.

"Peluang yang diberikan untuk membakar kuih sepit dan menganyam ketupat bersama rakan-rakan lain sesungguhnya memberi pengalaman baru kepada kami.

"Pastinya kenangan manis di Aidilfitri ini akan menjadi memori indah dalam hidup saya ketika menyambung pengajian di sini," katanya.

Bagi pelajar dari Afghanistan, Sediqi Sediqullah pula, program ini memberi kegembiraan kepadanya dan rakan-rakan yang tidak pulang berhari raya tahun ini.

"Ia cukup bermakna bukan saja buat saya tetapi juga rakan-rakan lain.

PELAJAR lelaki cuma membuat sendiri kuih sepit iaitu antara kuih yg polular di Kampung Warna-Warni Kuala Perlis.
PELAJAR lelaki cuma membuat sendiri kuih sepit iaitu antara kuih yg polular di Kampung Warna-Warni Kuala Perlis.

"Bukan itu saja, jamuan hari raya yang dianjurkan seperti mana yang diumumkan oleh rektor pastinya memberikan kegembiraan bukan sahaja pelajar antarabangsa seperti kami tetapi juga pelajar tempatan yang tidak pulang beraya," katanya.

Sementara itu, bagi pelajar dari Yaman, Badr Aseel, peluang membakar kuih sepit bersama rakan dari Somalia dan Sudan memberikan pengalaman yang cukup berharga.

"Walaupun hanya membakar kuih sepit, namun banyak ilmu yang saya sempat pelajari dari Rosilawati Yaakob iaitu mengenai kuih yang sangat sedap dan rangup ini.

"Terima kasih KUIPs kerana menganjurkan program ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2024 @ 7:01 AM