MERAIKAN bersama pelajar antara kelainan rutin raya.
MERAIKAN bersama pelajar antara kelainan rutin raya.
Nurul Husna Mahmud

RAYA tanpa keluarga mengundang rasa ralat seorang teman apatah lagi memikirkan ibunya yang sedang sakit. Sepatutnya dia sudah berada awal seminggu di kampung.

Namun halangan pulang beraya kali ini disebabkan penularan Covid-19 membuatkan dia tertekan berbanding pengalaman pulang raya sebelum ini.

Mana tidaknya, dia perlu menaiki kapal terbang ke Kota Kinabalu, Sabah selain bakal terkandas di pusat kuarantin pada hari raya menyebabkan hasrat pulang ke kampung itu dilupakan.

Rasa ralat itu membuatkan dia tertekan dan mengakui rutin kerja dan fokus harian terjejas kesan daripada hasrat untuk beraya dengan orang tua tidak kesampaian.

Sementara itu, Sukarelawan Psikologi Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial Mercy Malaysia yang juga Pensyarah Kerja Sosial Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial Universiti Utara Malaysia Sharima Ruwaida Abbas menerangkan emosi individu yang terganggu kerana tidak dapat pulang beraya dalam tempoh penularan Covid-19 adalah normal.

Emosi cukup terkesan ketika raya kerana selama ini sokongan itu diperoleh daripada ahli keluarga selain elemen lain seperti sumber kewangan mencukupi dan bebas meraikan raya memberi suasana gembira atau raya bermakna.

"Cabaran adalah tekanan pada mental dan emosi masyarakat ketika ini disebabkan keadaan pergerakan dan rutin terbatas menerusi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

PANGGILAN video boleh mengubati rasa kerinduan.
PANGGILAN video boleh mengubati rasa kerinduan.

"Masyarakat lebih mudah merasa bimbang dan resah, menyebabkan keadaan mental mereka terganggu.

"Mereka mudah rasa sedih, tidak dapat memfokuskan kepada rutin harian yang lebih baik dan akhirnya boleh mendatangkan kemurungan dalam tempoh yang panjang jika tidak ditangani, katanya.

Kata Sharima Ruwaida, golongan berisiko seperti mereka yang mempunyai sejarah penyakit mental dan warga emas lebih terdedah dengan jangkitan selain individu yang terbabit secara langsung dalam situasi Covid-19.

"Contohnya golongan terpaksa bekerja ketika raya terutama 'frontliner' kita (atau lain-lain perkhidmatan yang dulu mungkin ada giliran bercuti tetapi sekarang agak sukar), ada yang ibu bapa keseorangan di kampung, ada yang tidak dapat menyambut raya kerana tiada sumber kewangan yang cukup dan sebagainya, katanya.

Justeru saranan mengatasi 'kesepian' dan tekanan pada raya kali ini dengan cara berfikir di luar kotak dan bertindak lebih kreatif.

Kata Sharima Ruwaida, tempoh PKPB melatih untuk melihat dari sesuatu perkara dengan lebih positif, menzahirkan rasa bersyukur dalam kesederhanaan dan memahami keadaan kesusahan yang dilalui oleh orang lain.

SOLAT sunat Aidilfitri tidak bersama keluarga kali ini.
SOLAT sunat Aidilfitri tidak bersama keluarga kali ini.

"Sebaliknya ibu bapa yang anak tidak dapat beraya bersama, bimbang keadaan anak cucu beraya di perantauan yang mungkin tidak dapat makan makanan kesukaan dimasak mereka dan sebagainya.

"Tetapi ada ramai juga keluarga yang memahami dan kurang mengadakan aktiviti ziarah walaupun berdekatan kerana kebimbangan risiko jangkitan Covid-19 ini.

"Macam ibu saya yang berumur 86 tahun, berkerusi roda, dia sentiasa membaca surat khabar dan mendengar berita, jadi lebih mudah memahami keadaan bahawa PKPB ini tidak boleh balik kampung kami di Ipoh.

"Meskipun ada ketika dia merasa sedih sebab tidak dapat beraya dengan cucu dan anak di Ipoh serta menziarahi kubur arwah suami dan lain-lain, tetapi informasi yang beliau peroleh daripada pembacaan dan mengikuti berita mengenai perkembangan Covid-19. Ini memberi buah fikiran rasional keperluan untuk duduk di rumah dan kurangkan kebimbangan risiko terkena Covid-19, katanya.

Kata Sharima Ruwaida, dia sendiri menjemput pelajar yang tidak pulang ke kampung untuk meraikan bersama di kampus.

"Walaupun tidak dapat bersama adik-beradik dan sanak-saudara raya kali ini, saya masih meraikan kemeriahan raya. Saya jemput pelajar dengan mendirikan solat sunat Aidilfitri dan takbir
bersama pagi itu selain menjamu mereka dengan juadah istimewa.

"Berkongsi kasih itu tidak semestinya eksklusif dengan keluarga tetapi masih boleh dilakukan dengan jiran, teman dan komuniti setempat dengan kaedah sewajarnya, katanya.

BERKONGSI raya sebagai perantau bersama pelajar tidak dapat pulang ke kampung.
BERKONGSI raya sebagai perantau bersama pelajar tidak dapat pulang ke kampung.

Tambah Sharima Ruwaida lagi, kemudahan teknologi masa kini di hujung jari boleh membantu melakukan sesuatu di luar kemampuan seperti bersalaman dan sebagainya.

"Sentuhan boleh diganti dengan kata-kata semangat, kata-kata kasih sayang dan barang yang boleh diberi melalui pos seperti kad raya yang dibuat sendiri (tidak menggunakan kos yang tinggi), kuih raya (sekiranya berkemampuan) dan duit raya yang boleh dimasukkan ke akaun mengikut kemampuan sebagai tanda ingatan dan ambil berat.

"Ada yang saya lihat mereka bertakbir bersama dengan menggunakan medium atas talian. Ini dapat mengeratkan silaturahim dan suasana raya masih dapat dirasa pada waktu yang sama walaupun berjauhan.

"Peranan jiran berdekatan dan komuniti setempat sangat penting terutama bagi warga emas, keluarga yang kurang berkemampuan, jadi kita yang duduk setempat perlu mengganti ahli keluarga mereka tidak dapat balik, dengan menghulurkan sedikit juadah dan berkongsi kasih sayang dengan mereka.

"Lagi satu, menziarahi kubur juga selalunya satu terapi, tetapi kali ini, aktiviti ini tidak digalakkan. Oleh yang demikian, terapi ini boleh digantikan dengan titipan doa dari jauh dan mengajak ahli keluarga yang lain untuk sama-sama berdoa menerusi atas talian dan sebagainya, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Jun 2020 @ 7:01 AM