MINAT dan kebolehan digarap menerusi bidang seramik.
MINAT dan kebolehan digarap menerusi bidang seramik.

KRAFTANGAN Malaysia, agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya mempelawa belia berusia 18 hingga 35 tahun di seluruh negara yang berkelayakan untuk mengikuti program pengajian dalam bidang seni kraf di Institut Kraf Negara (IKN) bagi sesi Julai 2022/2023.

IKN menawarkan program diploma, sijil dan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) berteraskan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) serta akademik dalam bidang batik, tenunan, kayu, logam, seramik selain rotan.

Selain dari kampus utama di Rawang, IKN turut membuka dua lagi kampus baharu iaitu Kampus Satelit Sabah di Inanam dan Kota Belud serta Kampus Satelit Sarawak di Kuching dan Betong, Sarawak.

Malah, IKN turut menyediakan pelbagai kemudahan seperti kemudahan asrama, peralatan dan bahan bengkel disediakan, elaun sara hidup bulanan, makan dan minum serta insurans perlindungan kepada pelajar.

Program pengajian di IKN mendapat pengiktirafan akreditasi penuh daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan ditauliah sebagai Pusat Bertauliah oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia.

Pengiktirafan ini menjadi penanda aras bahawa kualiti program pengajian di IKN setara dengan institusi pengajian tinggi awam lain di Malaysia.

Dengan hala tuju sebagai peneraju kecemerlangan pengajian kraf berinovasi dan berkemahiran tinggi IKN berjaya melahirkan 2,810 graduan terlatih dan berkemahiran tinggi dari 2001 sehingga kini.

MENDEDAHKAN pelajar dengan seni atau kemahiran dalam bidang batik.
MENDEDAHKAN pelajar dengan seni atau kemahiran dalam bidang batik.

Graduan IKN turut diterima baik dalam pasaran dan mempunyai peluang cerah untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi di institusi pengajian tinggi (IPT) awam tempatan mahupun swasta.

Dalam memastikan kemahiran yang diterapkan kepada pelajar sesuai dengan perubahan dan keperluan semasa, IKN turut mengemas kini sistem kurikulum secara berkala. Perubahan ini perlu dilakukan bagi menerapkan kemahiran berfikir aras tinggi dalam kalangan pelajar supaya setara dengan standard pusat pengajian tinggi yang lain.

 KEMAHIRAN dalam pertukangan kayu.
KEMAHIRAN dalam pertukangan kayu.

Kadar kebolehpasaran graduan IKN adalah cemerlang iaitu seramai 2,323 atau 83 peratus daripada 2,810 graduan IKN berjaya meneruskan kerjaya dalam pelbagai bidang.

Ia termasuk usahawan kraf, pereka produk kraf, pereka produk industri, pereka fesyen dan tekstil, pensyarah, pendidik, penilai emas dan perak di Ar-Rahnu serta yang ditawarkan bekerja dengan syarikat pembinaan kapal layar terkemuka iaitu syarikat Grand Banks Yachts di Pasir Gudang, Johor. Tarikh tutup permohonan adalah pada 31 Julai depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Julai 2022 @ 6:35 AM