HILMIAH (dari kiri), Anis dan Muhammad Izzat penerima Anugerah Ketua Pengarah Tahun 2022.
HILMIAH (dari kiri), Anis dan Muhammad Izzat penerima Anugerah Ketua Pengarah Tahun 2022.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


ISTIADAT Konvokesyen Institut Kraf Negara (IKN) ke-20 di IKN, Rawang, Khamis lalu berlangsung dalam suasana meriah, menyaksikan 93 graduan menerima diploma dan sijil masing-masing.

Ia disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Saraya Arbi.

Pada istiadat itu, Anis Suraya Aini, 21, graduan Diploma Seni Kraf Batik dipilih menerima Anugerah Graduan Terbaik Keseluruhan.

Anak kelapan daripada 11 beradik dari Felda Pemanis, Segamat, Johor itu juga antara penerima Anugerah Terbaik Program Diploma Seni Kraf Batik Tahun 2022.

Menurut Anis, anugerah itu menjadi pembakar semangat dirinya untuk menyambung pelajaran ke peringkat ijazah sarjana muda di universiti tempatan pada tahun hadapan.

"Saya mahu belajar bersungguh-sungguh untuk membalas jasa keluarga terutama abang sulung yang banyak berkorban membantu menyara kami adik-beradik selepas kematian ayah.

"Ucapan terima kasih juga kepada semua warga IKN terutama tenaga pengajar yang tidak jemu memberi ilmu dan tunjuk ajar, jasa anda semua tidak akan kami lupakan," katanya.

Turut menerima Anugerah Graduan Terbaik Sijil Keseluruhan ialah Hilmiah Abdullah, 24, graduan Sijil Seni Kraf Rotan yang juga seorang daripada Anugerah Graduan Terbaik Program Sijil Seni Kraf Rotan Tahun 2022.

SARAYA menyampaikan ucapan.
SARAYA menyampaikan ucapan.

Selain itu, Muhammad Izzat Hilmi Afandi, 20, juga menerima Anugerah Graduan Terbaik bagi jurusan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

Istiadat konvokesyen itu turut dihadiri Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia 'Ainu Sham Ramli dan Pengarah Kanan IKN Shamsul Aziz Samsudin.

Ia membabitkan 46 graduan Diploma Seni Kraf, 13 graduan Sijil Seni Kraf dan 23 penerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) daripada enam jurusan seni kraf iaitu Seni Kraf Batik, Seni Kraf Tenunan, Seni Kraf Seramik, Seni Kraf Kayu, Seni Kraf Logam serta Seni Kraf Rotan.

Buat julung kalinya juga pada tahun ini, IKN meraikan 13 graduan dari Kampus Satelit IKN Cawangan Sabah yang tamat pengajian SKM dalam bidang Tenunan dan Rotan.

Selain itu, 11 graduan daripada Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja Tengku Ampuan Besar Meriam turut menerima Sijil Kemahiran Tenun Pahang Diraja.

IKN adalah institusi yang menawarkan program diploma dan sijilnya mendapat Akreditasi Penuh dari Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Dalam ucapannya, Saraya berkata, kementerian bangga dengan laporan kadar kebolehpasaran graduan IKN yang setara dengan institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Sejak 2001 hingga tahun lalu, IKN berjaya mengeluarkan 2,810 graduan dan 83 peratus daripadanya berjaya menembusi pasaran pekerjaan dalam pelbagai bidang.

SARAYA melancarkan Jurnal Seni Kraf Jilid 1/2022.
SARAYA melancarkan Jurnal Seni Kraf Jilid 1/2022.

"Tidak dapat dinafikan, graduan dikeluarkan IKN setiap tahun mewarnai pembangunan industri kraf.

"Graduan atau Alumni IKN bukan sahaja membawa nama institut, bahkan membawa nama negara ke peringkat antarabangsa," katanya.

Pada istiadat sama, Saraya turut melancarkan Jurnal Seni Kraf Jilid 1/2022.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 November 2022 @ 7:00 AM