KRAF kini satu keperluan.
KRAF kini satu keperluan.
Suliati Asri


HASIL kraf sememangnya cukup indah dan punya keistimewaan tersendiri. Bagi yang mengambil pengajian membabitkan seni terutama dalam kraf tangan, menjadi usahawan kraf atau bekerja dalam sektor pembuatan kraf antara kerjaya yang terbuka luas untuk diceburi.

Institut Kraf Negara (IKN) misalnya, sentiasa menawarkan pembelajaran terkini mengikut peredaran zaman sekali gus bersesuaian dengan Revolusi Industri 4.0.

Pengarah Kanan IKN, Abdul Halim Ali berkata, graduan IKN kini mempunyai kerjaya yang meluas dan mampu memenuhi ruang pekerjaan dalam pelbagai sektor termasuk sektor awam dan swasta.

Menurutnya, di awal penubuhan IKN, matlamatnya adalah untuk melahirkan usahawan kraf. Namun, kini, menerusi perubahan yang dilakukan, peluang graduan IKN semakin meluas.

"Kemahiran terutama kraf kini dilihat satu keperluan dan kita perlu perkembangkan. Oleh itu, kita menambah baik sijil yang ditawarkan dengan mendapatkan pengiktirafan dari Jabatan Perkhidmatan Awam sekali gus membolehkan pelajar bekerja di sektor awam.

"IKN juga menawarkan sijil dan diploma bagi enam bidang utama iaitu seni kraf batik, tenunan, kayu, logam, seramik dan rotan. Untuk setara dengan institusi pengajian tinggi awam (IPTA), sijil dan diploma yang ditawarkan mendapat perakuan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA)," katanya.

Selain itu IKN juga menawarkan program Sijil Kemahiran Malaysia untuk enam bidang utama di atas yang di iktiraf Jabatan Pembangunan Kemahiran Malaysia.

Penawaran program Diploma dan Sijil yang diiktiraf MQA dan Jabatan Pembangunan Kemahiran ini memberi peluang kepada semua belia atau mereka yang berminat dan berkelayakan memperkembangkan ilmu serta kemahiran.

Walaupun pada dasarnya matlamat IKN adalah untuk melahirkan usahawan, namun kata Abdul Halim, IKN tidak mahu pelajar terkongkong.

"Sebagai institut yang berdasarkan kepada kemahiran, IKN tidak mahu kebolehpasaran pelajar atau minat mereka berakhir sebagai usahawan semata-mata.

"Jadi, dengan adanya pengiktirafan Jabatan Perkhidmatan Awam dan MQA, pelajar kini boleh menyambung pengajian di institut pengajian tinggi (IPT) seterusnya menyandang pelbagai jawatan di sektor awam dan swasta seperti mana pelajar di institusi lain," katanya.

ANTARA hasil seni hasil pelajar IKN.
ANTARA hasil seni hasil pelajar IKN.

Selain menjadi usahawan kraf, kini graduan IKN berjaya memperluas kerjaya dalam bidang pembuatan kapal, sektor kreatif, rekaan fesyen, arkitek, penilai dan pereka emas serta banyak lagi.

Bersesuaian dengan program yang ditawarkan, modul pembelajaran di IKN ini adalah 70 peratus latihan praktikal dan 30 peratus adalah teori.

Walaupun kursus IKN berdasarkan kemahiran dan lebih kepada pemb

uatan tangan, namun IKN tetap selari dengan perkembangan Revolusi Industri 4.0 yang menitikberatkan penggunaan Internet of Things (IoT).

"Revolusi Industri 4.0 ini lebih kepada penggunaan mesin dan kita pula berdasarkan kepada kemahiran.

"Namun, kita tetap mengikut perkembangan semasa dan selari dengan permintaan industri serta sentiasa menambahbaik pembelajaran mengikut kesesuaian," katanya.

Untuk terus memastikan graduan IKN berdaya saing, institusi itu sentiasa menjalankan pelbagai usaha dalam memperkasa modal insan pelajarnya.

"IKN kini banyak memeterai memorandum persefahaman (MoU dan MoA) dengan IPT seperti Universiti Teknologi MARA, Universiti Islam Antarabangsa dan British Council bagi memperluas horizon akademik dan kemahiran untuk menghasilkan impak serta manfaat yang besar di dalam pembangunan modal insan.

"Menerusi kerjasama bersama British Council, ia lebih kepada aspek pembangunan pendidikan, kemahiran soft skill, kreativiti, inovasi dan rekaan produk melalui program Crafting Futures Malaysia yang membabitkan pelajar dan tenaga pengajar," katanya.

70 peratus pembelajaran di IKN adalah praktikal dan 30 peratus adalah teori.
70 peratus pembelajaran di IKN adalah praktikal dan 30 peratus adalah teori.

Antara program lain yang dilaksanakan IKN dalam usaha memperkasa modal insan pelajarannya ialah Program Improving Work Opportunities For Young People in Commonwealth (I-WORK) yang membabitkan lima negara United Kingdom, Malaysia, Ghana, Afrika Selatan dan India turut dilaksanakan.

Ia bertujuan meningkatkan peluang pekerjaan graduan, mewujudkan rangkaian kerjasama baharu, perkongsian kepakaran dan maklumat serta latihan kemahiran.

Centre Of Excellence (COE) pula diwujudkan untuk meningkatkan kemahiran teknikal dan industri, pengembangan dan pemantapan ilmu serta mempertahapkan kemahiran dan kreativiti melalui penganjuran Pertandingan, Anugerah Kreatif dan Pertandingan Reka Bentuk.

Program pertukaran kepakaran tenaga pengajar dengan kolaborasi projek, kajian dan acara turut diadakan IKN bagi meningkatkan kemahiran teknikal dan industri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 November 2020 @ 7:00 AM