PEMILIHAN jurusan juga sudah semakin berubah selari globalisasi dunia dengan mewujudkan pelbagai kerjaya daripada majikan juga industri. - Gambar hiasan
PEMILIHAN jurusan juga sudah semakin berubah selari globalisasi dunia dengan mewujudkan pelbagai kerjaya daripada majikan juga industri. - Gambar hiasan
SETIAP tahun, pelbagai organisasi atau institusi menganjurkan program untuk membantu pelajar membuat pemilihan jurusan tepat untuk melanjutkan pengajian. - Gambar hiasan
SETIAP tahun, pelbagai organisasi atau institusi menganjurkan program untuk membantu pelajar membuat pemilihan jurusan tepat untuk melanjutkan pengajian. - Gambar hiasan
DAPATKAN pelbagai maklumat untuk membantu pelajar juga ibu bapa agar faham mengenai prospek pengajian ingin dipilih. - Gambar hiasan
DAPATKAN pelbagai maklumat untuk membantu pelajar juga ibu bapa agar faham mengenai prospek pengajian ingin dipilih. - Gambar hiasan
BIARKAN pelajar merancang masa depan mereka sendiri untuk memilih jurusan diminati manakala ibu bapa berdiri teguh memberi sokongan. - Gambar hiasan
BIARKAN pelajar merancang masa depan mereka sendiri untuk memilih jurusan diminati manakala ibu bapa berdiri teguh memberi sokongan. - Gambar hiasan
KEJAYAAN pelajar hari ini bukan saja bersandarkan pada akademik semata-mata, namun perlu disuntik dengan elemen kemahiran penting yang diperlukan industri. - Gambar hiasan
KEJAYAAN pelajar hari ini bukan saja bersandarkan pada akademik semata-mata, namun perlu disuntik dengan elemen kemahiran penting yang diperlukan industri. - Gambar hiasan
Oleh Ruhaiza Rusmin


Seorang teman lama penulis sehingga kini masih ‘menangisi’ kegagalannya bergelar jurutera gara-gara terpaksa akur pilihan jurusan ditetapkan ibu bapanya.

Walaupun sudah mempunyai pekerjaan yang baik, sehingga kini dia masih mengharapkan cita-cita itu mampu dicapai.

Namun, teman penulis masih bernasib baik, biarpun akur arahan veto ibu bapanya, dia tetap berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang.

Tidak dinafikan, sehingga kini konflik ibu bapa dengan anak dalam menetapkan jurusan pemilihan pengajian sering berlaku.

Masing-masing mempunyai alasan tersendiri, namun kebiasaannya, ibu bapa yang menyertakan alasan kukuh akan muncul sebagai pemenang menyebabkan anak terpaksa mengalah.

Tidak perlu gusar jika pelajar mampu menerima keputusan itu dengan terbuka, namun jika sebaliknya, bagaimana masa depan mereka?

Jika gagal menamatkan pengajian, siapa yang perlu dipersalahkan, pelajar atau ibu bapa?

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, bagi mengelak perkara itu berlaku, ibu bapa mesti memberi ruang kepada anak untuk membuat pilihan.

Beliau berkata, mendesak atau meletakkan syarat anak mesti mengikuti jurusan pilihan ibu bapa bukan tindakan bijak kerana kelak, ibu bapa akan dipersalahkan.

“Apabila ini berlaku, konflik lain akan muncul, malah dibimbangi wujud jurang perhubungan ibu bapa dan anak apabila mereka melakukan protes secara senyap atau terbuka.

“Biarkan mereka (pelajar) memilih jurusan yang diminati,” katanya.

Beliau berkata, ibu bapa boleh memberikan pendapat tapi bukan memaksa anak mengikut perintah mereka secara kuku besi.

“Semua ibu bapa mahukan yang terbaik untuk anak tapi kita juga perlu akur mereka ada kehendak sendiri.

“Mungkin kehendak atau minat itu tidak sama seperti pemikiran ibu bapa, apatah lagi pada zaman moden ini, semua maklumat mudah diakses di hujung jari.

“Lebih penting, anak bukanlah cagaran yang boleh digadai bagi memenuhi kehendak ibu bapa kerana mereka juga ada hak menentukan masa depan sendiri,” katanya.

Ibu bapa juga, katanya, perlu keluar daripada kepompong pemikiran lama yang menganggap hanya akademik dan pekerjaan berprestij menjamin masa depan.

Akuinya, senario menetapkan pilihan jurusan untuk anak atau menganggap hanya kerjaya tertentu boleh menjamin masa depan sudah berlalu.

“Ibu bapa perlu menukar pemikiran dengan belajar menerima hakikat bahawa arus pekerjaan yang mereka inginkan atau tetapkan sudah berubah mengikut zaman.

“Jangan mudah melenting atau menentang jika anak ingin menyambung pengajian dalam jurusan jarang atau pelik pada pendengaran kita kerana ia ada permintaan,” katanya.

Beliau tidak menolak keinginan ibu bapa menetapkan pemilihan jurusan anak mungkin disebabkan beberapa faktor antaranya melunaskan cita-cita tidak kesampaian, kesamarataan kerjaya keluarga atau ketidakpercayaan pada kemampuan anak.

“Semua ibu bapa pastinya mengharapkan yang terbaik, namun perlu juga ada had tertentu.

“Jika 20 tahun lalu mungkin pecahan jurusan bertaraf elit masih mendominasi pasaran pekerjaan tapi sekarang sudah berubah.

“Keperluan jurusan lain lebih mendesak dan mampu menawarkan peluang kerjaya lebih cerah. Jadi apa salahnya ibu bapa bertolak ansur,” katanya mengakui kebanyakan ibu bapa melihat daripada perspektif mereka sebagai generasi lama sedangkan pelajar daripada perspektif sebaliknya.

“Pertembungan dua perspektif daripada dua generasi berbeza selalu mengundang konflik.

“Ibu bapa masih menganggap akademik adalah jawapan bagi kejayaan hidup manakala pelajar berpendapat mereka perlu memilih kursus yang diminati.

“Kedua-duanya tidak salah, namun berdasarkan pandangan ramai ahli akademik, jika pelajar diberi peluang membina masa depan mengikut minat, mereka akan lebih berjaya,” katanya.

Kajian pakar motivasi terkenal, Hushim Salleh (Ishammudin Saleh, 1997) mendapati pengaruh keluarga terutama ibu bapa amat mempengaruhi pemilihan kerjaya pelajar.

Kajiannya mendapati aspek taraf pendidikan ibu bapa, kekerapan berbincang dan bertanya mengenai bidang kerjaya serta nasihat ibu bapa mendorong anakmemilih pekerjaan profesional selain pencapaian dalam akademik.

Manakala ada kajian dilakukan pada 1981 dan 1982 menyimpulkan kerjaya pelajar ditentukan minat mereka.

Kaji selidik SalaryExplorer.com merumuskan ada lima kerjaya yang menerima bayaran paling tinggi di Malaysia iaitu juruterbang, akauntan kanan, jurutera bahan, pengarah perhubungan kerajaan serta ketua kumpulan dalam industri minyak gas, tenaga dan perlombongan.

Beliau tetap mahu ibu bapa memberi galakan dan sokongan kepada anak mereka, bukan memaksa.

“Ada pelajar yang memang sudah bersedia merancang masa depan dan untuk kategori ini, ibu bapa hanya perlu memberikan galakan.

“Tapi ada juga yang masih teraba-raba dan mengharapkan ibu bapa mencorakkan masa depan mereka.

“Kategori inilah perlu dibantu bagi mengelak mereka salah membuat perancangan masa depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Februari 2015 @ 5:07 AM