BIARPUN dianggap tidak sepenting SPM, PT3 landasan awal untuk pelajar merancang masa depan selari dengan minat dan cita-cita. - Gambar hiasan
BIARPUN dianggap tidak sepenting SPM, PT3 landasan awal untuk pelajar merancang masa depan selari dengan minat dan cita-cita. - Gambar hiasan
SEMUA pelajar berhak menyambung pengajian mengikut bidang atau aliran diminati. - Gambar hiasan
SEMUA pelajar berhak menyambung pengajian mengikut bidang atau aliran diminati. - Gambar hiasan
 PERANCANGAN yang betul selepas PT3 akan membolehkan pelajar mengikuti pengajian berdasarkan minat sekali gus memudahkan mereka membuat perancangan selepas SPM. - Gambar hiasan
PERANCANGAN yang betul selepas PT3 akan membolehkan pelajar mengikuti pengajian berdasarkan minat sekali gus memudahkan mereka membuat perancangan selepas SPM. - Gambar hiasan
SMT boleh menjadi platform kepada pelajar untuk membuat pengkhususan awal dalam bidang kejuruteraan. - Gambar hiasan
SMT boleh menjadi platform kepada pelajar untuk membuat pengkhususan awal dalam bidang kejuruteraan. - Gambar hiasan
BIDANG kemahiran di KV membantu pelajar membina kemahiran sekali gus memenuhi permintaan industri. - Gambar hiasan
BIDANG kemahiran di KV membantu pelajar membina kemahiran sekali gus memenuhi permintaan industri. - Gambar hiasan
PELAJAR yang memperoleh keputusan cemerlang digalak mengikuti aliran Sains. - Gambar hiasan
PELAJAR yang memperoleh keputusan cemerlang digalak mengikuti aliran Sains. - Gambar hiasan
Ruhaiza Rusmin


Pelajar tingkatan tiga yang selesai menduduki Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), baru-baru ini, pastinya sedang menghitung hari menanti bilakah keputusan peperiksaan itu akan diumumkan.

Walaupun PT3 dianggap tidak sepenting Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), fungsinya dalam menentukan hala tuju pelajar masih diperlukan.

Peperiksaan itu dianggap penting dalam merencanakan masa depan pelajar agar tidak tersalah merancang terutama dalam pemilihan aliran yang ingin diikuti.

Ketua Jabatan Psikologi dan Kaunseling Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof Madya Dr Mohammad Aziz Shah Mohamed Arip berkata, pelajar perlu membuat pilihan yang betul selepas memperoleh keputusan PT3 agar tidak menyesal atau berdepan konflik lain selepas itu.

Menurutnya, keputusan PT3 boleh dijadikan panduan awal untuk merencanakan pengajian sama ada mahu meneruskannya dalam aliran perdana, kemahiran atau perancangan lain.

“Walaupun tidak sepenting SPM, PT3 tetap menjadi platform mengukur kemampuan pelajar dalam pendidikan perdana.

“Pemilihan aliran pengajian sangat penting bagi memastikan pelajar tidak berdepan kemungkinan gagal dalam pelajaran atau salah membuat pilihan.

“Keputusan mengikuti aliran pengajian diingini bergantung kepada keputusan PT3 sama ada cemerlang atau sebaliknya,” katanya.

Katanya, perancangan salah bukan saja merugikan masa depan pelajar, malah menyebabkan mereka dihimpit pelbagai konflik sama ada dengan ibu bapa, sekolah mahupun diri sendiri.

“Sebab itu, mereka perlu melihat PT3 sebagai jambatan utama untuk merancang masa depan. Namun, perancangan tidak boleh dibuat secara semborono, sebaliknya perlu nasihat pihak tertentu seperti kaunselor pendidikan di sekolah, ibu bapa dan paling penting minat mengikuti aliran pengajian berdasarkan keputusan diperoleh,” katanya.

Dr Mohammad Aziz Shah menggariskan beberapa pilihan pengajian kepada lepasan PT3 iaitu mengikuti aliran sains atau sastera di sekolah perdana, mengikuti kemahiran di Kolej Vokasional (KV), pengajian di Sekolah Menengah Teknik (SMT) mahupun ke institusi latihan seperti Kolej Komuniti atau GiatMara.

Katanya, pelajar yang mahu mengikuti aliran sains tulen perlu memperoleh keputusan cemerlang dalam subjek Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris.

“Ini kerana dalam aliran Sains Tulen, subjek Fizik, Kimia dan Biologi serta Matematik wajib dipelajari.

“Justeru, pelajar yang mahu memasuki aliran ini perlu mendapat keputusan PT3 cemerlang.

“Golongan pelajar ini ada prospek cerah untuk memasuki institusi pengajian tinggi (IPT) dengan memilih kursus profesional dengan syarat keputusan SPM juga mesti cemerlang,” katanya.

Katanya, pelajar yang mengikuti aliran Sastera, Perdagangan dan Perakaunan turut berpeluang memasuki IPT dalam jurusan ekonomi, kemanusiaan dan sebagainya.

“Bagi yang memperoleh keputusan baik tapi tidak layak mengikuti aliran Sains, mereka masih boleh mengikuti aliran Sastera, Perdagangan dan Perakaunan yang juga ada prospek untuk melanjutkan pengajian di IPT.

“Yang penting, mereka mesti mendapat keputusan cemerlang dalam SPM terutama subjek teras yang menjadi kayu ukur utama dalam pemilihan ke IPT seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sejarah dan beberapa subjek lain.

“Aliran ini penyumbang terbesar kemasukan pelajar ke IPT terutama universiti awam (UA) menjadikan persaingannya sangat kompetitif,” katanya.

Pelajar yang mahu melanjutkan pengajian ke KV pula, beliau menasihati mereka memahami dulu objektif kolej itu diwujudkan.

Katanya, KV institusi yang menyediakan sumber tenaga kerja untuk terus memasuki industri pekerjaan. Justeru, modul pembelajaran dan pengajarannya (P&P) lebih berbentuk praktikal berbanding teori.

“Aliran KV lebih sesuai untuk pelajar yang mahu menjurus kepada P&P berbentuk kemahiran dan memasuki dunia pekerjaan dengan cepat. Pelajar KV tidak akan menduduki SPM, sebaliknya akan diberi diploma selepas menduduki pengajian selama empat tahun tiga bulan.

“Bagaimanapun, KV berbeza dengan SMT. Pengajian di SMT mengikut aliran perdana iaitu menduduki SPM dan pada masa sama mempunyai jurusan pengkhususan dalam bidang tertentu seperti kejuruteraan atau sains pertanian,” katanya.

Bagaimanapun, pelajar SMT tidak mengikuti subjek Biologi kerana keutamaan pengkhususan lebih kepada kejuruteraan.

Sementara itu, katanya, pelajar yang sudah tidak berminat belajar atau gagal memperoleh keputusan yang baik, mereka boleh memilih mengikuti pengajian di Kolej Komuniti atau Pusat GiatMara yang lebih menumpukan sepenuhnya kepada kemahiran.

“Memasuki pusat seperti ini satu kelebihan kerana pelajar akan dilatih dengan pelbagai kemahiran. Apabila tamat pengajian, mereka akan diberikan sijil dan boleh melanjutkan pengajian ke tahap berikutnya atau terus memasuki alam pekerjaan,” katanya.

Dr Mohammad Aziz Shah berkata, bagi pelajar yang berkemampuan, mereka boleh melanjutkan pengajian terus ke luar negara dengan syarat mengambil atau memenuhi peperiksaan ditetapkan di negara terbabit.

“Sekarang banyak peluang belajar disediakan kerajaan dan pelajar bebas membuat pilihan asalnya ia bermanfaat dan berguna untuk masa depan.

“Jangan buang masa, buat pilihan berdasarkan minat dan cita-cita. Sama ada keputusan PT3 cemerlang atau tidak, pilihan masih ada dan patut dimanfaatkan sebaiknya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Oktober 2016 @ 11:19 AM