GIGI Dall’Igna. FOTO AFP
GIGI Dall’Igna. FOTO AFP
Agensi

London: Marc Marquez tegaskan peranan Pengurus Besar Ducati, Gigi Dall'Igna dalam pasukan cukup penting terutama dalam mempengaruhi keputusannya bersama pasukan itu.

Jelas Marquez, sebelum dia menyertai Ducati, dia terlebih dulu mahu mengetahui perancangan Dall'Igna bersama pasukan itu dan sampai bila kekal bersama Ducati.

"Bagi saya hubungan kami cukup mudah dan masing-masing mengetahui keinginan dan kemahuan. Saya bersama Ducati disebabkan oleh Dall'Igna.

"Dia adalah perancang dan jurutera terbaik yang memiliki sentuhan kemenangan buat mana-mana pelumba yang berlumba di bawah bimbingannya.

"Perkara pertama yang saya katakan apabila pertama kali kami berbincang adalah pentingnya untuk dia kekal bersama Ducati.

"Jika tidak, bagi saya tidak perlu kami berbincang mengenai kemasukan saya ke dalam pasukan ini kerana saya hanya ada di sini disebabkan dia," katanya.

Ditanya jika Dall'Igna memutuskan untuk meninggalkan pasukan, Marquez tidak mempunyai jawapan namun mahu Pengurus Besar itu memberi jawapan ke manakah hala tujunya jika keluar dari Ducati.

"Ia bergantung. Banyak perkara perlu difikirkan. Mungkin saya perlu bertanya kepadanya, ke manakah dia mahu pergi.

"Dia individu cukup penting, selama ini dia memacu pasukan dnegan sangat baik dan saya fikir dia perlu kekal di sini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2024 @ 1:54 PM