KEADAAN kereta yang terbalik selepas merempuh penonton. FOTO AFP
KEADAAN kereta yang terbalik selepas merempuh penonton. FOTO AFP
Agensi

Colombo: Sekurang-kurangnya tujuh maut dan 21 cedera selepas kereta rali merempuh penonton yang menyaksikan perlumbaan di kejohanan Fox Hill Super Cross 2024 di Sri Lanka semalam.

Salah seorang mangsa terbunuh ialah kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun manakala ramai yang cedera berada dalam keadaan kritikal.

Foto dan video menunjukkan keadaan huru-hara selepas insiden dengan beberapa ambulan membawa keluar mangsa tragedi.

Orang ramai kelihatan cuba memberi rawatan awal kepada mangsa yang bergelimpangan di trek perlumbaan.

Lebih 100,000 penonton menyaksikan perlumbaan di Diyatalawa ketika salah satu kereta hilang kawalan dan merempuh penonton yang hanya beberapa meter daripada trek.

Perlumbaan itu dianjurkan tentera Sri Lanka yang berpangkalan di hadapan trek Fox Hill dan membabitkan 150 kereta serta 120 motosikal.

Pelumba daripada beberapa kelab permotoron negara itu dan dari selatan Asia terbabit dalam perlumbaan itu yang kini dibatalkan sepenuhnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2024 @ 3:26 PM