MENTERI Belia dan Sukan Hannah, Yeoh bercakap pada sidang media Grand Prix Malaysia Petronas 2023 di The Bee Publika hari ini bersama Azhan (kiri). FOTO BERNAMA
MENTERI Belia dan Sukan Hannah, Yeoh bercakap pada sidang media Grand Prix Malaysia Petronas 2023 di The Bee Publika hari ini bersama Azhan (kiri). FOTO BERNAMA
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Penganjur perlumbaan Grand Prix (GP) Malaysia iaitu Litar Antarabangsa Sepang (SIC) mengumumkan bahawa tiada pelumba tempatan yang akan beraksi atas tiket wild card pada edisi kali ini.

Perlumbaan yang akan berlangsung dari 10 hingga 12 November itu menyaksikan Malaysia hanya mempunyai seorang wakil iaitu Syarifuddin Azman atau dikenali dengan Damok yang sememangnya beraksi untuk satu musim penuh bersama pasukan MTHelmets_MSi.

Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SIC, Azhan Shafriman Hanif pada sidang media GP Malaysia di sini hari ini.

Bagaimanapun SIC masih mempunyai masa untuk membuat sebarang perubahan sebelum tarikh tutup penyenaraian pelumba.

"Buat ketika ini memang tiada pelumba wild card tapi kita boleh senaraikan pelumba tempoh 45 hari sebelum perlumbaan namun ia bergantung kepada kelulusan dan tertakluk pada Dorna Sports dan IRTA (Persatuan Pasukan Pelumba Antarabangsa).

"Tapi untuk tahun ini memang tiada perancangan lagi. Tahun lalu kita ada Damok atas tiket wild card sebab kita tak ada pelumba yang beraksi untuk satu musim penuh tapi tahun ini kita dah ada Damok yang boleh mewakili Malaysia," katanya.

Untuk rekod ia adalah kali pertama SIC tidak menyenaraikan pelumba atas tiket wild card sejak 2018.

Tahun lalu, selain Damok yang beraksi dalam kelas Moto3, tiga lagi pelumba negara - Kasma Daniel Kasmayuddin, Azroy Hakeem Anuar dan Khairul Idham Pawi - turut menyertai edisi berkenaan atas tiket wildcard dalam kelas Moto2 bersama pasukan Petronas Mie Racing.

Dalam majlis yang dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh hari ini, SIC turut mengumumkan penjualan Tiket Rahmah kepada seluruh rakyat Malaysia.

Sebanyak 7,000 tempat duduk diperuntukkan untuk penjualan Tiket Rahmah yang boleh didapati dengan harga RM49.90 bagi tempat duduk K2 Hillstand bermula hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 September 2023 @ 6:32 PM