KASMA DANIEL (tengah) bersama Azroy (kiri) dan Khairul mewakili pasukan Petronas Mie Racing menerusi tiket wild card di GP Malaysia, minggu ini.
KASMA DANIEL (tengah) bersama Azroy (kiri) dan Khairul mewakili pasukan Petronas Mie Racing menerusi tiket wild card di GP Malaysia, minggu ini.
Saiful Affendy Sapran


Sepang: Kasma Daniel Kasmayudin yang baharu melangsungkan perkahwinan minggu lalu mengakui fasa baharu dalam hidupnya itu sedikit sebanyak memberi suntikan semangat kepadanya untuk beraksi di Grand Prix (GP) Malaysia, minggu ini.

Pelumba negara berusia 22 tahun itu yang bernikah dengan pasangannya, Che Ku Nur Ayuni Afiqah Che Ku Jonaidi, akan beraksi menerusi tiket wild card dalam kelas Moto2 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bersama pasukan Petronas Mie Racing.

"Boleh katakan ia memberi mood yang baik kepada saya untuk berlumba terutama apabila isteri dan keluarga datang untuk memberikan sokongan.

"Kalendar perlumbaan saya akan berakhir pada Disember, jadi biar saya habiskan dahulu semua perlumbaan dan kemudian baru fokus kepada majlis sebelah lelaki di Johor pada Januari depan," katanya.

Mengulas saingan minggu ini, Kasma yang pernah beraksi di musim penuh pada 2020 bersama pasukan Onexox TKKR SAG mengakui tidak dapat mengelak daripada merasai tekanan beraksi di halaman sendiri di depan puluhan ribu peminat.

"Bagi saya, satu cabaran untuk berlumba di depan penyokong sendiri. Ini adalah peluang terbaik kepada saya membuktikan kemampuan kepada peminat.

"Sebab semasa saya beraksi di musim penuh pada 2020, saya tak berpeluang berlumba di Sepang kerana pada masa itu pusingan perlumbaan di Asia terpaksa dibatalkan kerana pandemik Covid-19.

"Saya akan berusaha mendapatkan keputusan yang baik dan cuba menghabiskan perlumbaan dengan kegembiraan pada minggu ini," katanya.

Selain Kasma, seorang lagi pelumba negara yang akan beraksi menerusi tiket wild card di kelas Moto2 dengan pasukan sama adalah Azroy Hakeem Anuar manakala pelumba berpengalaman negara, Khairul Idham Pawi berada dalam senarai simpanan.

Syarifuddin Azman atau Damok pula akan beraksi dalam kelas Moto3 bersama pasukan VisionTrack Racing, juga menerusi tiket wild card.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Oktober 2022 @ 5:10 PM