Kuala Lumpur: Ramdan Rosli (gambar) bakal membuat penampilan kali ketiga berturut-turut pada Grand Prix (GP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dari 28 hingga 30 Oktober ini menerusi tiket wild card dalam kategori Moto2.

Pelumba PETRONAS AHM Malaysia itu sebelum ini pernah membuat penampilan pertama di Sepang menerusi kelas Moto3 pada 2014 sebelum beraksi dalam kelas Moto2 tahun lalu, kedua-duanya juga menerusi tiket wild card.

Malah sebelum beraksi di Sepang, Ramdan juga mendapat tiket wild card untuk beraksi di Litar Phillip Island, minggu ini.

Jun lalu, Ramdan meraih tiket wild card kali pertama musim ini apabila beraksi di GP Catalunya, Sepanyol.

“Beraksi di Sepang menerusi tiket wild card sudah pasti sesuatu yang amat saya nantikan kerana bakal beraksi di tempat sendiri.

“Sudah pasti saya akan berdepan saingan sengit daripada pasukan utama serta pelumba yang mempunyai pengalaman beraksi semusim penuh di Moto2.

“Saya akan memanfaatkan peluang ini sebaik-baiknya,” katanya.

Pada 2014 Ramdan gagal menamatkan perlumbaan manakala tahun lalu dia menduduki tempat ke-24.

Ketika ini Ramdan beraksi dalam Kejuaraan CEV Repsol yang menyaksikannya menduduki tempat ke-15 dengan mengumpul 36 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Oktober 2016 @ 11:53 AM