Verstappen (tengah) bersama Leclerc (kiri) dan Bottas (kanan) di atas podium GP Austria. FOTO REUTERS
Verstappen (tengah) bersama Leclerc (kiri) dan Bottas (kanan) di atas podium GP Austria. FOTO REUTERS
Reuters

PEMANDU Red Bull, Max Verstappen memenangi perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix Austria untuk kali kedua berturut-turut sekaligus menamatkan penguasaan Mercedes untuk kali pertama musim ini.

Pemandu Ferrari, Charles Leclerc yang bermula di petak utama, menamatkan saingan di tempat kedua dan lebih banyak bertahan untuk menghalang asakan Verstappen sepanjang perlumbaan itu.

Dua pelumba terbabit turut berlanggar tayar sesama sendiri sebelum pemandu Belanda itu memintasnya ketika perlumbaan berbaki tiga pusingan untuk ditamatkan.

Pada usia 21, mereka berdua muncul pemandu termuda dalam sejarah menjejak kaki di podium F1.

Verstappen menamatkan saingan di litar milik Red Bull itu dengan penuh gemilang apabila beribu-ribu peminat dari Belanda mengenakan baju oren memberi sokongan kepadanya.

Valtteri Bottas menamatkan saingan di tempat ketiga untuk Mercedes manakala rakan sepasukan pendahulu kejuaraan, Lewis Hamilton yang juga pemenang empat perlumbaan sebelum ini berada di tempat kelima di belakang seorang lagi pemandu Ferrari, Sebastian Vettel.

Hamilton, juara dunia lima kali masih mendahului kedudukan kejuaraan pemandu dengan kelebihan 31 mata di depan Bottas selepas berakhir sembilan daripada 21 perlumbaan.

Kejayaan Verstappen adalah kemenangan kereta menggunakan enjin Honda sejak pemandu Britain, Jenson Button menang di Hungary pada 2006 bersama pasukan pengeluar Jepun itu.

Kemenangan Red Bull juga menamatkan senario perlumbaan Grand Prix Perancis yang membosankan minggu lalu.

Kemenangan pasukan itu juga menamatkan penguasaan Mercedes yang menang 10 perlumbaan berturut-turut dan kelapan musim ini.

“Untuk Honda sekali lagi menang di sini (Spielberg) sangat hebat,” kata Verstappen.

“Ia perlumbaan sengit, jika tidak baik duduk di rumah. Jika perkara seperti itu tidak dibenarkan dalam perlumbaan, buat apa berada dalam Formula Satu,” katanya terhadap tindakan dilakukannya ketika memintas Leclerc yang mendapat perhatian steward.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2019 @ 1:00 AM