YUZY berkata kerjasama itu menyaksikan Estremo akan bertindak selaku penaja utama. FOTO Ihsan Shahrol Yuzy Racing
YUZY berkata kerjasama itu menyaksikan Estremo akan bertindak selaku penaja utama. FOTO Ihsan Shahrol Yuzy Racing
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Pasukan Yuzy Racing mendapat tonik baharu menjelang Kejuaraan Petronas Malaysia Cub Prix musim 2023 apabila mengumumkan kerjasama bersama syarikat minyak pelincir tempatan, Estremo sebagai penaja utama baharu bagi musim 2023.

Pemilik pasukan Yuzy Racing, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini, berkata, kerjasama itu menyaksikan Estremo akan bertindak selaku penaja utama pasukan selama tiga musim bermula 2023 sehingga 2025.

"Pada majlis ini saya mengalu-alukan kehadiran penaja utama yang baharu iaitu salah satu syarikat minyak pelincir tempatan, Estremo.

"Kerjasama bersama Estremo ini sudah tentu akan memberi faedah kepada pasukan Yuzy Racing Dalam membantu program pembangunan pasukan yang sentiasa komited dalam melahirkan pelumba-pelumba terbaik dan mampu untuk bergelar juara.

"Selain itu, kerjasama ini tidak terhad di litar, malah kami turut merangka pelbagai program di luar litar yang akan memberi manfaat khususnya kepada pengguna-pengguna motosikal," katanya pada majlis pengumuman penaja baharu bagi Yuzy Racing.

Tambah bekas pelumba Kejuaraan Dunia negara (MotoGP) dalam kategori 250cc itu, dia juga mengucapkan terima kasih kepada pihak Boon Siew Honda Malaysia yang telah bersama pasukan Yuzy Racing selama 12 tahun sehingga ke hari ini.

Untuk rekod, kerjasama bersama Honda menyaksikan pasukan Yuzy Racing telah berjaya melahirkan dua juara keseluruhan kategori perdana iaitu Mod Zaghwan Zaidi dalam kategori CP130, dan pada tahun 2014 dan Azroy Hakeem Anuar dalam kategori CP150 pada tahun 2021.

Dalam perkembangan sama, Yuzy Racing turut mengumumkan pasukannya akan kembali ke Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARC) dalamkategori Underbone 150cc.

Tambahnya lagi, Pada tahun ini pasukannya akan terus mengekalkan Azroy Hakeem selaku pelumba utama pasukan dalam kategori CP150 di Kejuaraan Petronas Malaysia Cub Prix bersama-sama Shahrol Syazras Shahrol Yuzy dan Md Idlan Hagimi Raduan.

"Antara perkara yang turut membanggakan saya sepanjang bergelar pelumba dan pemilik pasukan apabila anak saya, Shahrol Syazras kini turut mengikut jejak langkah saya dan berada di dalam pasukan bersama-sama barisan pelumba yang lain.

"Selepas beberapa musim, saya percaya dia kini semakin matang dan mampu untuk menggalas tanggungjawab yang diberikan," ujarnya.

Pasukan Honda Yuzy Estremo Team akan memulakan aksi pertama mereka pada pusingan pembukaan Kejuaraan Petronas Malaysia Cub Prix 2023 yang dijadualkan berlangsung di Litar Sepang (Utara) pada 25 dan 26 Februari.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 January 2023 @ 7:01 PM