AZROY HAKEEM ANUAR
AZROY HAKEEM ANUAR
Haika Khazi

KUALA LUMPUR: Azroy Hakeem Anuar terus menjadi sandaran pasukan Idemitsu Honda Givi Yuzy Racing (Yuzy Racing) untuk menaiki podium di pusingan terakhir Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Bandar Penawar, Johor pada 15 dan 16 Disember ini.

Berikutan itu, pengurus pasukan Shahrol Yuzy Ahmad Zaini berharap anak buahya akan berusaha sebaik mungkin dalam perlumbaan pada Sabtu dan Ahad nanti.

Beliau berkata selepas melalui lapan pusingan musim 2018 yang cukup mencabar khususnya buat jentera Honda, Azroy menghadirkan keceriaan buat kem Yuzy Racing apabila meraih podium di tempat ketiga kategori CP150 di Jempol, Negeri Sembilan sebelum ini.

Azroy Hakeem menamatkan perlumbaan di belakang juara, Kasma Daniel Kasmayuddin dan juara keseluruhan Ahmad Afif Amran yang berada di kedudukan kedua.

Sebelum itu Mohd Aiman Azman hampir menghadiahkan podium buat pasukan kendalian bekas pelumba MotoGP negara itu namun sedikit kesilapan menyaksikan dia terpaksa berpuas hati di tempat keempat.

“Untuk perlumbaan terkahir musim ini, kami sudah melakukan persediaan rapi sama seperti sebelum ini dan saya berharap seluruh ahli pasukan dapat sekali lagi menyediakan jentera terbaik.

“Pada masa sama, saya juga harap pelumba dapat memberikan aksi terbaik mereka dan saya menaruh harapan gandingan dua pelumba CP115 itu dapat menghadiahkan podium sebelum saingan musim ini berakhir,” tambah Yuzy.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Disember 2018 @ 7:11 PM