YUZY bersama barisan pelumbanya untuk musim 2023. FOTO Yuzy Racing
YUZY bersama barisan pelumbanya untuk musim 2023. FOTO Yuzy Racing
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Pasukan Yuzy Racing mahu mengulangi pencapaian yang dilakar pada musim 2014 iaitu gelaran berganda bagi Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2023 yang akan membuka tirai perlumbaannya hujung Februari ini.

Pemilik pasukan Yuzy Racing, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini berkata, justeru pasukannya akan mempertaruhkan Azroy Hakeem Anuar sebagai pelumba utama bersama-sama Shahrol Syazras Shahrol Yuzy dan Md Idlan Haqimi Raduan bagi merealisasikan impian itu.

"Kita dapat tempat kedua untuk dua tahun iaitu 2019 dan 2022 (carta keseluruhan CP150). Tahun 2021 kita dapat Azroy sebagai juara (Kelas CP 150).

"Untuk tahun ini kita sasar Azroy jadi juara keseluruhan dan juara pasukan untuk tahun 2023 ini. Ini kerana saya yakin dengan barisan pelumba yang pasukan miliki pada musim ini,"katanya.

Musim lalu, Azroy menamatkan saingan 2023 di kedudukan kedua keseluruhan, hanya empat mata dibelakang juara dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha CKJ-Racing, Ahmad Afif Amran.

Dalam pada itu, Shahrol ketika diminta mengulas berkenaan penyertaan anaknya dalam pasukan pada musim ini, dia memberitahu anaknya akan dilayan sama rata sama seperti pelumba-pelumba lain.

Malah katanya, Shahrol Syazras harus menunjukkan kemampuannya untuk bersaing sekali gus layak untuk bergelar juara.

"Saya mahu pastikan para pelumba mempunyai ilmu yang mencukupi sebelum bertanding di luar negara kerana tidak mahu mereka terkapai-kapai apabila bertanding di peringkat antarabangsa.

"Tiada laluan mudah perlu diberikan walaupun dia adalah anak saya sendiri kerana saya pun bermula dari bawah.

"Bila kita pergi dengan laluan mudah peluang untuk kita jatuh juga akan berlaku dengan cepat. Itu adalah asas kepada pasukan saya untuk melahirkan bakat-bakat muda negara," kata bekas pelumba Kejuaraan Dunia kelas 250cc itu

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 January 2023 @ 5:22 PM