DAMOK (dua dari kiri) bersama Azhan (dua dari kanan) ketika berkunjung ke Balai Berita, Selasa lalu.
DAMOK (dua dari kiri) bersama Azhan (dua dari kanan) ketika berkunjung ke Balai Berita, Selasa lalu.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Bukan sekadar pelengkap di Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP), sebaliknya mampu memberi saingan di kelompok hadapan.

Itu tegas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SIC, Azhan Shafriman Hanif sekiranya pelumba negara, Syarifuddin Azman atau Damok dapat beraksi pada musim penuh pada perlumbaan berprestij itu, musim depan.

Jelas Azhan, pihaknya tidak lagi menganggap penampilan pelumba negara di MotoGP sekadar pendedahan atau berada di kelompok belakang tetapi Damok harus membuktikan kemampuan bersaing dengan pelumba berkelas dunia yang lain.

"Saya dengar ramai tanya kenapa tak ada pelumba Malaysia di MotoGP (tahun ini). Bukan tak nak letak, tapi kami mahukan pelumba yang betul-betul mampu bersaing.

"Betul, negara jiran seperti Thailand dan Indonesia mempunyai pelumba, tapi tak semua boleh bersaing dengan pelumba Eropah terutamanya dari Itali dan Sepanyol.

"Sebab itulah jika Damok benar-benar dapat beraksi di musim penuh pada tahun depan, saya mahu dia berada di kelompok depan dan menunjukkan peningkatan pada setiap tahun," katanya.

Sementara itu, Azhan berkata, dua faktor utama menjadi penentu sama ada Damok bakal membuat penampilan penuh dalam musim saingan Moto3 di MotoGP pada tahun depan.

Katanya dua faktor itu membabitkan dana selain tempat dalam pasukan yang pada ketika ini sedang 'diburu' pelumba dari seluruh dunia.

"Salah satu faktor utama (kewangan). (Keduanya) tempat. Bukan senang nak dapatkan tempat di Kejuaraan Dunia walaupun kita bawa duit (kepada pasukan). Jadi kedua-dua faktor ini memainkan peranan penting.

"Pertamanya, kena ada tempat dan kedua duit pun kena ada. Jadi kedua-dua ini adalah faktor utama untuk berada di kejuaraan antarabangsa. Kalau ada duit tapi tak ada tempat pun tak mendatangkan apa-apa dan begitulah juga sebaliknya," kata Azhan.

Damok yang pada musim ini menyertai Kejuaraan Dunia JuniorGP, mempamerkan prestasi memberangsangkan dengan pada ketika ini berada di tangga kedua dalam carta pelumba keseluruhan.

Prestasi cemerlang itu membolehkannya terpilih beraksi di Grand Prix (GP) Malaysia pada 21 hingga 23 Oktober depan menerusi tiket wild card.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Ogos 2022 @ 4:24 PM