VERSTAPPEN berjaya muncul juara GP Azerbaijan. FOTO EPA
VERSTAPPEN berjaya muncul juara GP Azerbaijan. FOTO EPA
AFP

Baku: Max Verstappen mengambil peluang daripada masalah enjin dihadapi pelumba Ferrari, Charles Leclerc untuk memenangi saingan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Azerbaijan di Litar Baku City, di sini, sebentar tadi.

Pelumba Belanda itu berjaya melepasi garisan penamat 20.8 saat lebih pantas berbanding Sergio Perez, yang diarah untuk tidak bersaing dengan Verstappen, bagi melengkapkan kemenangan 1-2 pasukan Red Bull selepas pendahulu perlumbaan, Leclerc terpaksa berdepan masalah enjin berasap pada pusingan ke-20.

George Russell yang mewakili pasukan Mercedes di tempat ketiga, manakala rakan sepasukannya, Lewis Hamilton yang diundi sebagai 'pelumba terbaik hari ini' kerana terus bersaing biarpun menghadapi masalah sakit belakang, di tempat keempat.

Kegagalan meneruskan perlumbaan buat Leclerc adalah kali kedua dalam tiga perlumbaan setakat ini. Seorang lagi pelumba Ferrari, Carlos Sainz turut gagal menamatkan perlumbaan hari ini akibat masalah hidraulik pada jenteranya.

Selepas perlumbaan di sini, Leclerc kini tercicir di tempat ketiga keseluruhan kedudukan pelumba, ketinggalan 34 mata di belakang Verstappen manakala Perez yang memenangi GP Azerbaijan musim lalu, di tempat kedua, ketinggalan 21 mata dengan rakan sepasukannya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Jun 2022 @ 10:20 PM