HAMILTON (tengah) menjuarai Grand Prix Azerbaijan, Kimi Raikkonen (kiri) di tempat kedua dan Sergio Perez di tempat ketiga. FOTO AFP
HAMILTON (tengah) menjuarai Grand Prix Azerbaijan, Kimi Raikkonen (kiri) di tempat kedua dan Sergio Perez di tempat ketiga. FOTO AFP
AFP

Baku, Azerbaijan: Pemandu Mercedes AMG PETRONAS, Lewis Hamilton menamatkan kemarau kemenangannya pada musim 2018 untuk menjuarai perlumbaan penuh dramatik Formula Satu Grand Prix Azerbaijan, malam tadi.

Memulakan saingan di petak kedua di belakang pelumba Ferrari, Sebastian Vettel, pemandu Britain itu memanfaatkan beberapa siri insiden termasuk membabitkan dua pelumba Red Bull, Daniel Ricciardo dan Max Verstappen berbaki 11 pusingan sebelum menamatkan perlumbaan selaku juara.

Malah Hamilton juga boleh dianggap bertuah apabila rakan sepasukannya, Valtteri Bottas yang pada satu ketika mendahului perlumbaan ditimpa malang apabila tayar jenteranya pancit.

Hamilton menamatkan perlumbaan 51 pusingan itu dengan catatan 1 jam 43 minit 44.291 saat, diikuti rakan sepasukan Vettel, Kimi Raikkonen, ketinggalan 2.460s.

Pelumba pasukan Force India, Sergio Perez mencipta kejutan apabila melengkapkan kedudukan podium ketika Vettel yang melakukan kesilapan di saat akhir terpaksa berpuas hati di tangga keempat.

Pada pusingan ke-40, pemenang GP Azerbaijan tahun lalu, Ricciardo melanggar belakang jentera Verstappen yang menyebabkan kedua-dua pelumba menamatkan perlumbaan.

Kemenangan di Baku menyaksikan Hamilton kembali memimpin carta kejuaraan dunia dengan mengumpul 70 mata manakala Vettel di tangga kedua (66 mata).

Sejak enjin V6 turbo hybrid diperkenalkan pada 2014, ini kali pertama Mercedes tewas tiga perlumbaan berturut-turut dengan deretan kekalahan Hamilton berpanjangan kepada enam perlumbaan sejak Oktober lalu.

Tempat kelima menjadi milik pemandu Renault, Carlos Sainz, manakala Charles Leclerc dari pasukan Sauber, keenam sekali gus mengumpul mata pertamanya.

Pelumba McLaren, Fernando Alonso menamatkan perlumbaan di tangga ketujuh di depan pelumba muda Kanada, Lance Stroll dari pasukan Williams.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 April 2018 @ 7:27 AM