JAZEMAN sertai ELMS di Le Castellet.
JAZEMAN sertai ELMS di Le Castellet.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pelumba negara, Jazeman Jaafar mula memperoleh keyakinan menjelang perlumbaan European Le Mans Series (ELMS) Ahad ini di Le Castellet, Perancis selepas melalui sesi ujian yang positif.

Pelumba negara berusia 29 tahun itu akan beraksi pada musim penuh dalam kategori Pro-Am Le Mans Prototype 2 (LMP2) di perlumbaan berkenaan bersama pasukan Virage.

Dia akan bergandingan bersama pelumba Perancis, Gabriel Audry serta pelumba Amerika Syarikat, Rob Hodes bagi siri perlumbaan di lima negara itu.

"Kami melalui program ujian dua hari yang sangat baik menerusi simulasi sesi kelayakan dan perlumbaan penuh. Kami juga dapat menguji beberapa gaya pemanduan kami yang berbeza untuk mendapatkan persediaan baik dan saya amat gembira dengan perkembangan ini.

"Saya fikir ia akan menjadi pembelajaran baharu bagi kami kerana perlumbaan ini akan menjadi sangat kompetitif. Kami akan cuba memberi saingan sengit dan dapatkan keputusan yang terbaik," katanya.

Selain Perancis, perlumbaan ELMS itu akan turut berlangsung di Itali, Sepanyol, Belgium dan Portugal. Jazeman yang dikenali selaku bekas pelumba ujian Formula Satu (F1) Mercedes, turut mempunyai pengalaman luas dalam perlumbaan endurance, antaranya pernah beraksi di Kejuaraan Endurance Dunia (WEC), Asia Le Mans Series.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 April 2022 @ 12:20 PM