JAZEMAN Jaafar. -FOTO Arkib
JAZEMAN Jaafar. -FOTO Arkib
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pelumba negara, Jazeman Jaafar optimis mahu rentak cemerlang pada musim ini dengan memastikan mampu berada dalam kedudukan podium dalam saingan perlumbaan European Le Mans Series (ELMS) yang akan bermula pada 17 April depan di Le Castellet, Perancis.

Jazeman yang mewakili pasukan Virage berkata, sasaran terbabit mampu dicapai berdasarkan kepada persiapan rapi yang dilakukan semua pihak termasuk bahagian teknikal.

Katanya, perlumbaan ELMS cukup mencabar apabila hanya kesilapan sedikit saja mampu memusnahkan impiannya untuk berada dalam kelompok terbaik saingan itu.

"Persediaan rapi sudah dilakukan dan kita mengharapkan lebih banyak lagi kejayaan (podium) dapat diraih pada musim ini.

"Cuma kita kena lebih bersedia dan tidak melakukan kesilapan selain merangka strategi berkesan.

"Ini perlumbaan sangat kompetitif dan jika sebarang kesilapan boleh dapat dielakkan saya rasa tidak mustahil untuk meraih podium," katanya.

Mengikut rekod, Jazeman yang akan beraksi secara penuh dalam kategori Le Mans Prototype 2 (LMP2) di perlumbaan berkenaan akan bergandingan bersama pelumba Perancis Gabriel Audry dan pelumba Amerika Syarikat Rob Hodes bagi siri perlumbaan di lima negara itu.

Selain Perancis, perlumbaan ELMS itu akan turut berlangsung di Itali, Sepanyol, Belgium dan Portugal.

Pelumba berusia 29 tahun ini juga pernah meraih pencapaian positif ketika penyertaannya di Kejuaraan Endurance Dunia (WEC), Asia Le Mans Series dengan berada di tempat ketiga pada 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2022 @ 1:43 PM