ADAM (kiri) tidak lagi beraksi di Kejuaraan CEV Moto2 Eropah musim 2022. FOTO Agensi
ADAM (kiri) tidak lagi beraksi di Kejuaraan CEV Moto2 Eropah musim 2022. FOTO Agensi
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pelumba motosikal negara, Adam Norrodin mengakui harapannya untuk berlumba di Kejuaraan Dunia MotoGP sudah terkubur selepas kontraknya bersama Litar Antarabangsa Sepang (SIC) tidak disambung sekali gus tiada lagi kelibatnya di Kejuaraan CEV Moto2 Eropah musim 2022.

Adam yang sebelum ini berlumba bersama pasukan Liqui Moly Instact SIC turut berdepan kesukaran mencari penaja atau pasukan baru dalam usahanya meneruskan karier dalam dunia permotoran dua roda itu.

Ia kerana dia hanya baru dimaklumkan oleh SIC berhubung kontrak baru-baru ini ketika semua pasukan sudahpun mempunyai pelumba dan perancangan untuk musim 2022.

Begitupun Adam tidak menyalahkan sesiapa dan tidak akan berputus asa mengadakan perbincangan dengan mana-mana pasukan yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

"Saya tak salahkan sesiapa. Saya tahu SIC juga mempunyai kekangan. Cuma saya memang sangat berharap untuk meneruskan kerjaya saya dalam dunia permotoran ini.

"Sebab motosikal ini adalah karier saya dan saya sudah lama berkecimpung dalam dunia ini. Jika boleh memang saya tak mahu berhenti.

"Walaupun peluang untuk ke MotoGP sudah tiada lagi, saya tak nak berputus asa dengan karier saya.

"Saya akan cuba dapatkan tempat kosong untuk membolehkan terus berlumba. Kalau tak ada rezeki dalam MotoGP mungkin ada rezeki saya di tempat lain," katanya yang berharap untuk berlumba di pentas Kejohanan Motosikal Asia (ARRC).

Sepanjang pembabitannya di pentas CEV musim lalu, pelumba berusia 23 tahun itu berjaya menamatkan perlumbaan di tempat ketiga sebanyak tiga dan mengumpul keseluruhan 97 mata.

Fermin Aldeguer daripada pasukan Boscoscuro Team Ciatti muncul juara keseluruhan selepas mengutip 265 mata, diikuti Alonso Lopez kedua (226 mata) dan rakan sepasukan Adam, Lukas Tulovic ketiga (135 mata).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 January 2022 @ 1:34 PM