ADAM tak pasti perancangan tahun ini.
ADAM tak pasti perancangan tahun ini.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Adam Norrodin mengakui masih tidak pasti berhubung perjalanan kariernya pada musim ini selepas mengesahkan tidak akan meneruskan aksi di Kejuaraan CEV Moto2 Eropah.

Dengan musim baharu perlumbaan di peringkat dunia dan Asia akan bermula tidak lama lagi, Adam masih tercari-cari pasukan untuk disertai terutama di saingan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) namun ia masih belum membuahkan hasil.

Malah Adam tidak menolak kemungkinan tidak akan berlumba pada tahun ini susulan tempoh yang semakin singkat untuk mendapatkan pasukan.

"Memang saya pun tak tahu lagi perancangan tahun ini. Sekarang sudah masuk musim 2022 dan perlumbaan ARRC akan bermula pada Mac.

"Sebelum ini saya cuba bertanya satu dua pasukan tetapi mereka sudah ada pelumba yang terikat dengan kontrak. Saya tak boleh salahkan mereka kerana setiap pasukan sememangnya sudah mempunyai perancangan sejak awal lagi.

"Dalam hal ini, saya yang lambat kerana perlu menunggu keputusan mengenai status saya di CEV.

"Memang saya akui sedang melalui situasi sukar tetapi saya perlu terus positif dan tidak mudah putus asa," katanya ketika dihubungi.

Pengurus pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin sebelum ini turut mengakui masih belum mempunyai sebarang perancangan terhadap Adam selepas pihaknya serta Litar Antarabangsa Sepang (SIC) membuat keputusan untuk tidak meneruskan karier Adam di CEV Eropah.

Adam cemerlang pada Kejuaraan CEV Eropah musim lalu selepas menamatkan saingan di kedudukan kelima keseluruhan.

Dia mengumpul keseluruhan 97 mata namun sedikit tersasar daripada sasaran iaitu menamatkan kempen di kedudukan ketiga terbaik secara keseluruhan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 January 2022 @ 7:07 PM