ROSSI (kanan) adalah mentor kepada Bagnaia. FOTO Agensi
ROSSI (kanan) adalah mentor kepada Bagnaia. FOTO Agensi
Agensi

London: Pelumba Ducati, Francesco Bagnaia mahu lebih 'menikmati' hari perlumbaan pada musim baharu kerana ia adalah amalan dilakukan mentornya yang juga legenda MotoGP, Valentino Rossi ketika aktif berlumba.

Bagnaia yang beraksi bersama Ducati, memenangi empat perlumbaan pada 2021 dan muncul naib juara dunia di belakang Fabio Quartararo apabila hanya ketinggalan 26 mata.

Pelumba Itali itu memenangi perlumbaan pertama dalam kelas MotoGP di Grand Prix Aragon, September tahun lalu ketika bersaing dengan juara dunia enam kali, Marc Marquez.

Bercakap kepada Autosport's Tank Slappers, Bagnaia berkata dia mahu mempamer aksi lebih baik pada musim baharu.

"Bagi saya kemenangan di Aragon sangat menakjubkan. Kemenangan pertama dan bersaing sengit dengan Marc.

"Sejak itu saya mula seronok berlumba pada setiap sesi dan setiap minggu. Jadi saya rasa perlu sentiasa fokus dan menikmati perlumbaan setiap hari.

"Saya rasa ia juga adalah rahsia Rossi, iaitu menikmati setiap perlumbaan. Apapun saya perlu lebih bekerja keras," katanya.

Rossi yang juga juara dunia sembilan kali, mengumumkan persaraan dalam kancah MotoGP hujung musim lalu selepas melalui karier yang penuh gemilang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Disember 2021 @ 11:32 AM