Reuters

LONDON: Pelumba legenda Itali, Valentino Rossi (gambar) tidak menolak kemungkinan kembali berlumba dalam MotoGP di Sepanyol hujung minggu ini, tiga minggu selepas patah kaki kanannya sesudah melakukan beberapa pusingan ujian semalam.

Yamaha menyatakan penunggang berusia 38 tahun itu, yang menerima nasihat doktor supaya berehat antara 30-40 hari untuk tempoh pemulihan, melakukan ujian di sekitar litar Misano berdekatan rumahnya di timur Itali dengan jentera YZF-R1M “untuk menguji tahap kecergasannya.”

Bagaimanapun penilaian itu tidak lengkap selepas hujan memaksanya memendekkan sesi ujian.

“Dia akan memutuskan hingga petang Rabu (esok)... sama ada dia akan mengambil bahagian pada Gran Premio Movistar de Aragon hujung minggu ini,” menurut Yamaha.

Laman web Motorsport.com memetik bapanya Graziano sebagai berkata, Rossi melengkapkan tujuh atau lapan pusingan dan berharap melakukan ujian lagi hari ini.

“Saya dimaklumkan dia berasa sakit di kaki kanannya namun dia tidak boleh menentukan hanya dengan beberapa pusingan sama ada untuk berlumba atau tidak di Aragon,” katanya.

Rossi, juara dunia sembilan kali, patah kaki kanannya dalam kemalangan ketika menggunakan jentera enduro pada 31 Ogos lalu.

Dia terlepas aksi Grand Prix San Marino di Misano dan Yamaha menyatakan minggu lalu, penunggang Superbike Belanda, Michael van der Mark akan menggantikannya di Aragon hujung minggu ini.

Pelumba Itali itu kini di tangga keempat keseluruhan dan 42 mata di belakang penunggang Honda, Marc Marquez dan Andrea Dovizioso dari Ducati, yang terikat di kedudukan teratas kejuaraan dunia.

Perlumbaan di litar Motorland Aragon adalah pusingan ke-14 daripada 18 perlumbaan musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2017 @ 12:07 PM