Adam Norrodin
Adam Norrodin
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Litar Ricardo Tormo, Sepanyol yang akan menjadi pentas terakhir Kejuaraan CEV Moto2 Eropah pada 21 November ini akan menjadi penentu buat pelumba negara Adam Norrodin untuk memburu kelompok tiga terbaik.

Dia kini dipisahkan 35 mata dengan pelumba di kedudukan ketiga, Lukas Tulovic dan perlu memastikan penamat dalam kelompok tiga terbaik yang diletakkan sebagai penanda aras sekiranya ingin kembali beraksi di Kejuaraan Dunia musim depan.

Biarpun tampak sukar namun Adam masih lagi berpeluang dan itu bukan satu yang mustahil buat Adam yang pernah beraksi dalam kelas Moto3 dari 2016 hingga 2018.

Pengurus pasukan SIC Racing Team, Zulfahmi Khairuddin berkata, Adam masih berpeluang untuk membuat kemunculan penuh dan mengekori jejak Syarifuddin Azman atau dikenali Damok yang bakal membuat kemunculan di kelas Moto3 Kejuaraan Dunia 2022.

"Peluang Adam masih terbuka dan realistik. Tapi sukar untuk cakap sekarang ini kerana masih awal. Banyak pasukan belum umumkan pelumba dan ada juga pasukan yang perlukan bajet.

"Mungkin tak lama lagi kita akan tahu kedudukan Adam macam mana. Dia sememangnya layak untuk ke Kejuaraan Dunia tapi dia kena usaha keras sikitlah. Saya tak nak dia dapat tempat itu terlalu mudah walaupun dia tak capai apa yang sepatutnya dia capai," katanya.

Terdahulu Adam menunjukkan peningkatan yang membanggakan di CEV Moto2 Eropah bersama Liqui Moly Intact SIC Racing Team apabila tiga kali menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.

Ditanya mengenai masa depan Adam sekiranya tidak menyertai Kejuaraan Dunia musim depan, Zulfahmi berkata dia akan berbincang dengan lebih lanjut mengenai perkara itu dengan pihak Litar Antarabangsa Sepang kerana usia Adam yang masih muda, 23.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Oktober 2021 @ 5:38 PM