Saingan CP150 Kejuaraan Cub Prix sengit. FOTO Malaysian Cub Prix
Saingan CP150 Kejuaraan Cub Prix sengit. FOTO Malaysian Cub Prix
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Saingan kelayakan CP150 Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas, hari ini mengejutkan ramai pihak apabila Mohd Izam Ikmal mengungguli perlumbaan itu dengan menewaskan pelumba pilihan lain.

Mohd Izam yang mewakili pasukan SCK Honda Racing mempamerkan prestasi cemerlang apabila mencatat masa terpantas satu minit 20.732 saat (s).

Katanya, dia tidak menyangka mampu 'menyelit' dalam perlumbaan itu sekali gus berjaya mencipta kejutan walaupun tidak diletakkan sebagai pilihan untuk memenanginya.

"Saya agak terkejut dengan keputusan hari ini. Saya tidak pernah terfikir ingin 'kacau daun' dalam pemburuan takhta CP150 ini.

"Matlamat saya dalam sesi kelayakan hanya ingin terus mengasah skil peribadi dengan mengekori rapat pelumba-pelumba handalan lain," kata Mohd Izam yang ketika ini menduduki tangga ke-15 keseluruhan selepas lapan pusingan perlumbaan.

Daripada lima pelumba yang berpeluang bergelar juara musim ini, hanya empat pelumba berjaya melayakkan diri untuk menyertai sesi SuperPole.

Kasma Daniel Kasmayudin mencatat masa kedua terpantas dalam sesi kelayakan dengan catatan 1:20.863s manakala pendahulu kejuaraan, Azroy Hakeem Anuar dari pasukan Honda Yuzy Idemitsu Team ketiga dengan 1:20.981s.

Mohd Akid Aziz mencatat masa keempat terpantas manakala Ahmad Afif Amran yang memburu gelaran juara ketiga dalam kerjayanya di kedudukan keenam.

Sementara itu, dalam saingan CP125, pendahulu kejuaraan Mohd Adib Rosley 'terselamat' apabila menamatkan sesi kelayakan di tempat kelapan dengan catatan masa 1:31.951s.

Adib hanya perlu menamatkan dua perlumbaan terakhir di kalangan 10 pelumba teratas untuk mengesahkan kedudukannya sebagai Juara CP125 musim 2021.

Pelumba Tunebos Pink Racing, Mohd Harith Farhan Baharin muncul pelumba terpantas pusingan kelayakan apabila mencatat masa 1:30.715s diikuti Mohd Faiz Zekri Sabri yang mewakili pasukan Onexox Racing Team dengan 1:31.032s.

Sementara itu, saingan kelayakan kelas Wira pula, pelumba Castrol Power1 Honda Team, Mohd Harith Haziq Zamri terpantas dengan catatan 1:32.480s.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Disember 2021 @ 7:35 PM