AIMAN (depan) menguasai sesi kelayakan. FOTO Cub Prix
AIMAN (depan) menguasai sesi kelayakan. FOTO Cub Prix
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pelumba pasukan Petronas Sprinta Yamaha CKJ Racing, Mohd Aiman Tahiruddin membuktikan kemampuannya apabila menguasai sesi kelayakan CP150 pusingan kedua Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas yang berlangsung di Litar Sepang hari ini.

Aiman yang berusia 21 tahun berjaya mencatatkan masa 1 minit 16.736 saat (s) sekali gus berjaya mengesahkan kedudukan terpantas pada sesi kelayakan CP150.

Turut mengiringi pelumba terbabit adalah rakan sepasukannya, Mohd Affendi Rosli apabila turut muncul sebagai pelumba ketiga terpantas dengan catatan masa 1 minit 17.052s.

Selain itu, Azroy Hakeem Anuar daripada pasukan Honda Yuzy Idemitsu Team gagal bersaing dengan Aiman apabila terpaksa berpuas hati di kedudukan kedua dengan catatan masa 1 minit 17.010s.

Aiman berkata, sesi kelayakan kali ini sememangnya cukup mencabar apabila menyaksikan pelumba lain turut mempamerkan aksi memuaskan sekali gus agak sengit untuk perebutan tiga kedudukan terbaik.

"Perlumbaan akhir nanti pasti mencabar. Melihatkan catatan masa dari pelumba lain, hanya 0.5 saat membezakan kedudukan saya dengan 15 pelumba terpantas sesi kelayakan tadi.

"Saya bersyukur dapat menunaikan hajat saya untuk melayakkan diri ke sesi SuperPole esok," katanya.

Sementara itu, bagi sesi kelayakan CP125 pula menyaksikan pelumba dari pasukan Ipone Yamaha YY Pang Racing Team Mohd Adib Rosley berjaya mencatatkan masa terpantas dengan 1 minit 22.191s.

Catatan masa Adib disusuli juara bertahan CP125 Mohd Syafiq Rosli dengan 1 minit 22.709s serta Ahmad Syukran Aizat Mohd Yusoff dengan 1 minit 22.748s.

Bagi pendahulu kategori Wira KBS, Mohd Syamil Amsyar M Iffende dari pasukan Petronas Sprinta Yamaha31 Racing, turut mendominasi dalam kategori junior itu.

Syamil Amsyar mendahului sesi kelayakan Wira KBS dengan catatan masa 1 minit 24.864s.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 April 2021 @ 6:55 PM