AFP

London: Lewis Hamilton terlepas peluang untuk memecah rekod meraih gelaran dunia kali kelapan dalam saingan Formula Satu (F1) namun ia tidak menghalang kariernya diiktiraf selepas dianugerahkan pingat Kesatria yang membawa gelaran 'Sir' oleh Putera Charles di Istana Windsor.

Pelumba berusia 36 tahun itu diiktiraf dalam senarai Penghormatan Tahun Baru di atas sumbangannya kepada sukan permotoran selepas mengatasi rekod Michael Schumacher menjuarai perlumbaan Grand Prix dan menyamai legenda F1 itu dengan tujuh gelaran dunia.

Bagaimanapun, Ahad lalu pencabar kejuaraan dunia musim ini, Max Verstappen meraih trofi sulung F1 selepas bertarung sengit sepanjang tahun dengan Hamilton apabila muncul juara di Abu Dhabi.

Kehadiran kereta keselamatan selepas berlaku kemalangan di hujung saingan di Litar Yas Marina menghalang niat Hamilton untuk muncul juara selepas mendahului perlumbaan dan Verstappen yang sempat menukar tayar memiliki kelebihan bagi melintasi garisan penamat terlebih dulu.

Hamilton yang turut dihadiri ibunya, Carmen Lockhart masih mampu mengukir senyuman ketika mereka mengambil gambar di istana berkenaan.

HAMILTON penerima keempat anugerah Kesatrian dalam sukan F1. FOTO AFP
HAMILTON penerima keempat anugerah Kesatrian dalam sukan F1. FOTO AFP

Bagaimanapun, dia menolak untuk ditemubual oleh wartawan selepas majlis berkenaan.

Hamilton dilaporkan memberitahu juruteranya dia dimanipulasi beberapa saat selepas gelaran itu dirampas daripadanya, tetapi dia kemudiannya bermurah hati mengucapkan tahniah kepada Verstappen dalam temubual selepas perlumbaan.

Dia adalah pemandu F1 keempat yang dinobatkan anugerah kesatria, mengikut jejak langkah Jack Brabham dari Australia dan warga Britain, Stirling Moss dan Jackie Stewart, dan menjadi pelumba yang pertama dianugerahkan penghormatan ketika masih aktif.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Disember 2021 @ 8:43 AM