HAFIZH selamat berlepas ke Jerez awal pagi tadi. FOTO Asyraf Hamzah
HAFIZH selamat berlepas ke Jerez awal pagi tadi. FOTO Asyraf Hamzah
Aida Adilah Mat


PELUMBA Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah selamat berlepas ke Sepanyol awal pagi tadi untuk menyertai Kejohanan Motosikal Dunia yang akan berlangsung di Litar Jerez Sepanyol pada 17 hingga 19 Julai.

Dia dibenarkan melakukan sesi ujian pada 15 Julai ini menggunakan jentera Moto2 sebenar selepas empat bulan tidak berbuat demikian berikutan penularan Covid-19 yang menyekat sebarang aktiviti bersukan dijalankan.

Peluang itu perlu digunakan sebaik mungkin oleh pelumba Aspar Team itu untuk cuba mengadaptasi dengan pantas keadaan litar selain menyesuaikan diri dengan jentera yang akan digunakan.

"Saya tidak boleh tunggu lama untuk menaiki jentera. Sebelum ini memang pernah berlatih menggunakan jentera 600cc di Malaysia tapi ia tak sama. Saya perlu menyesuaikan diri dengan cepat kerana kekuatan dan elektronik jentera motosikal sebenar sangat berbeza. Tayar juga berlainan.

"Jika boleh saya mahu cepat mengadaptasi semuanya supaya pada hari perlumbaan nanti tiada sebarang kelemahan," katanya yang menyedari pelumba Eropah turut berdepan masalah yang sama ketika ini.

Hafizh Syahrin kembali ke saingan Moto2 musim ini selepas melalui dua tahun yang mengecewakan dalam kelas Premier, menyasarkan untuk menduduki lima terbaik dalam perlumbaan di Litar Jerez.

Bekas pelumba Monster Yamaha Tech 3 dan Red Bull KTM Tech 3 berusia 26 tahun itu berkata, banyak yang dia pelajari ketika beraksi pada pusingan pertama di Qatar yang menyaksikan dia menamatkan saingan di kedudukan tempat ke-19.

"Sasaran saya untuk menamatkan saingan di kelompok lima terbaik di Jerez. Tapi jika tidak boleh saya mahu berada di 10 terbaik ataupun mendapatkan mata.

"Banyak yang saya pelajari ketika di Qatar. Saya akan cuba ingat mana yang boleh dan cuba baiki segala kelemahan pada hari perlumbaan nanti," katanya.

Hafizh berlepas ke Sepanyol selepas mendapat pelepasan khas dan kebenaran masuk ke negara itu berikutan penetapan Kesatuan Eropah yang hanya membenarkan rakyat dari 15 negara untuk memasuki kesatuan itu dan Malaysia tidak tersenarai.

Selain Hafizh, turut sama beraksi di GP Sepanyol adalah Kasma Daniel Kasmayudin (ONEXOX TKKR SAG Team) dan Khairul Idham Pawi ( Petronas Sprinta Racing).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2020 @ 6:46 PM