TUNKU Ismail akan bantu Hafizh yang mengejar cita-cita dan boleh membanggakan negara. FOTO Ihsan NTS RW Racing GP
TUNKU Ismail akan bantu Hafizh yang mengejar cita-cita dan boleh membanggakan negara. FOTO Ihsan NTS RW Racing GP
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Bukan sekadar omong kosong sebaliknya pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim sememangnya serius mahu membantu pelumba tunggal negara yang beraksi di Kejohanan Dunia MotoGP, Hafizh Syahrin Abdullah.

Tunku Ismail mengakui teruja melihat sikap, tahap disiplin dan keazaman tinggi pelumba Moto2 negara itu yang beraksi bersama pasukan NTS RW Racing GP.

"Mungkin saya akan cuba membantu, tak banyak pun sikit saya akan bantu untuk dia mengejar cita-citanya dan boleh membanggakan negara serta diri sendiri.

"Bukan dia seorang saja atlet yang saya pernah bantu. Macam contoh Farkhan (Haron) petinju di Johor pun saya bantu juga.

"Ramai atlet yang orang kata ada keazaman untuk cuba sebaik mungkin berjaya dalam industri mereka. Saya kagum dengan sikap mereka dan jikalau boleh bantu, saya bantu," katanya dalam temubual bersama Hafizal Hamad dalam program Nindia Bola.

Mengulas lanjut bentuk bantuan yang akan diberikan kepada Hafizh, Tunku Ismail berkata masih terlalu awal untuk memperkatakannya kerana belum ada sebarang perbincangan bersama pelumba berusia 27 tahun itu.

"Kita belum tahu lagi, saya belum berjumpa atau berbincang dengan beliau lagi. Saya pun nak tahu berapa bajet dia setiap tahun, apa bantuan yang dia terima sebelum ini, apa perancangan dia, jadi benda itu belum ada apa-apa perbincangan lagi," katanya.

Sebelum ini Tunku Ismail ditanya oleh salah seorang pengikutnya menerusi sesi soal jawab di Instagram miliknya sama ada berminat untuk menaja Hafizh.

"Saya berminat," demikian jawapan ringkas Tunku Ismail sebelum Hafizh memberi reaksi dengan berkongsi pertanyaan itu di laman Story Instagram miliknya.

Sementara itu Hafizh tidak dapat meneruskan aksi cemerlang pada pusingan ketujuh Kejohanan Dunia MotoGP apabila menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-20 di Grand Prix (GP) Catalunya semalam.

Keputusan itu jauh daripada sasaran Hafizh yang pada awalnya percaya mampu mengutip mata selepas jentera NTS RW Racing GP miliknya dilengkapi dengan pakej aerodinamik fairing baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Jun 2021 @ 2:54 PM