HAFIZH akui peluang untuk bertemu Tunku Ismail mungkin akan tercapai apabila dia pulang ke Malaysia kelak. FOTO Ihsan NTS RW Racing GP
HAFIZH akui peluang untuk bertemu Tunku Ismail mungkin akan tercapai apabila dia pulang ke Malaysia kelak. FOTO Ihsan NTS RW Racing GP
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Hafizh Syahrin Abdullah mengakui sangat berbesar hati selepas pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim sudi untuk membantunya meneruskan perjuangan di Kejohanan Dunia MotoGP.

Jelas pelumba tunggal negara yang beraksi di pentas berprestij itu, dia sama sekali tidak menjangkakan Tunku Ismail berminat untuk membantunya sekali gus tiada kata-kata dapat diungkapkan selain berterima kasih dengan keprihatinan Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu.

"Saya sangat teruja dan terharu sebab tunku berminat untuk membantu saya. Memang saya amat berbesar hati dan menghargainya.

"Saya tak boleh komen apa-apa lagi kerana saya pun belum dapat berjumpa dengan tunku dan belum berbincang lebih lanjut terutamanya mengenai apa yang saya perlukan," katanya.

Jelas Hafizh, peluang untuk bertemu Tunku Ismail mungkin akan tercapai apabila dia pulang ke Malaysia kelak.

"Tapi kata-kata positif tunku memberikan saya satu semangat untuk teruskan perjuangan dalam sukan permotoran walaupun perjalanan saya dari 2019 sehingga sekarang agar sukar.

"Tahun lalu kita semua tahu seluruh dunia dilanda Covid-19 dan banyak penaja yang menarik diri dan ada yang tidak boleh memberikan sokongan 100 peratus" katanya.

Tunku Ismail menerusi laporan Arena Metro semalam mengakui teruja melihat sikap, tahap disiplin dan keazaman tinggi pelumba Moto2 negara itu yang beraksi bersama pasukan NTS RW Racing GP.

Justeru itu, Tunku Ismail akan cuba membantu Hafizh untuk dia mengejar cita-citanya sekali gus terus mengharumkan nama negara serta dirinya sendiri.

Selepas tujuh pusingan perlumbaan, Hafizh setakat ini meraih lapan mata.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Jun 2021 @ 2:15 PM