DANIAL Syahmi (kiri) di pentas podium ATC di Litar Antarabangsa Losail, Qatar. - Foto FB ZK Racing
DANIAL Syahmi (kiri) di pentas podium ATC di Litar Antarabangsa Losail, Qatar. - Foto FB ZK Racing
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pelumba muda negara, Danial Syahmi Ahmad Shahril mahu menggunakan sepenuhnya tempoh enam bulan sebelum pusingan ketiga Asia Talent Cup (ATC) di Jepun untuk mencari kelemahan pesaingnya dari negara itu, Taiyo Furusato.

Biarpun mengakui jarak pusingan ketiga itu agak lambat iaitu pada Oktober, bagi Danial ia memberi lebih ruang untuknya mengkaji dan memperbaiki gaya tunggangan seterusnya memintas Furusato yang kini mengumpul 100 mata maksimum.

Usaha dilakukan sebelum ini belum memadai dan Danial, 19, mengakui banyakperlu ditingkatkan terutama daripada corak tunggangan dan pelarasan jentera.

"Banyak saya pelajari selepas dua pusingan di Qatar. Antara pendekatan saya cuba ketika ujian rasmi pusingan pertama dan kedua adalah mengubah posisi badan, corak tunggangan dan pelarasan jentera untuk buat saya lebih yakin dengan motosikal.

"Sekarang ini selepas saya balik ke Malaysia, saya nak siapkan fizikal untuk lebih kuat kerana sasaran saya lepas ini untuk bagi saingan pada Furusato. Jadi tempoh enam bulan sebelum pusingan seterusnya, saya perlu siapkan segala-galanya untuk kalahkan Furusato," katanya.

Selepas dua pusingan di ATC, Danial kini berada di tangga kedua keseluruhan dengan 59 mata.

Untuk rekod, Danial kembali ke saingan ATC musim ini selepas mengalami kemalangan ngeri pada pusingan kemuncak musim 2018 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang menyaksikan tulang betisnya hancur kira-kira 10 sentimeter.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 April 2021 @ 8:37 PM