HAKIM Danish tekad kejar Furusato.
HAKIM Danish tekad kejar Furusato.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Seratus mata yang ditawarkan di pusingan kemuncak musim 2021 Asia Talent Cup (ATC) menjadi sasaran buat pelumba muda berbakat, Hakim Danish Ramli untuk mengejar kedudukan pendahulu dari Jepun, Taiyo Furusato.

Furusato ketika ini mendahului carta keseluruhan dengan 100 mata manakala Hakim mengumpul 57 mata menjelang pusingan akhir musim 2021 yang dijadual berlangsung di Litar Mandalika, Indonesia dari 12 hingga 14 November ini.

Ia tidak mustahil untuk pelumba berusia 14 tahun itu mengejar kedudukan Furusato memandangkan jurang antara mereka dibezakan 43 mata dengan dua perlumbaan dijadual berlangsung di litar baharu dibina itu.

Justeru, Hakim Danish yang juga juara musim pertama Kejohanan SIC MiniGP berharap dapat mencari penamat di pentas podium.

"Peluang itu masih terbuka untuk saya bersaing dan kita akan tengok nanti. Untuk perlumbaan di ATC nanti, saya sasarkan penamat di podium. Saya mahu mengejar Furusato dan saya rasa boleh melakukan yang terbaik," katanya.

Selepas empat perlumbaan musim ini, dia sudah membuktikan kemampuannya dengan meraih tiga penamat di tempat ketiga dan di tempat ketujuh untuk berkongsi 57 mata keseluruhan dengan pelumba Jepun, Gun Mie.

Hakim Danish pada musim 2021 menyertai dua kejuaraan utama iaitu ATC dan European Talent Cup (ETC) dengan tahun ini, dia turut memperoleh kira-kira empat bulan pengalaman berharga di Eropah.

"Saya dapat pelajari dari segi latihan dan pemakanan mereka (pelumba Eropah). Mereka mengamalkan pemakanan yang bagus supaya dapat berlatih dengan lebih kuat dan bertenaga.

"Dari segi teknik motosikal, sama saja tetapi pemakanan, saya boleh katakan berbeza daripada sini (Malaysia), di sana mereka mengamalkan pemakanan yang lebih sihat dan untuk itu, saya akan menerapkannya untuk diri saya sendiri.

"Selepas empat bulan lebih berada di sana, saya dapat melihat diri saya sedikit berubah, lebih baik berbanding tahun lalu dan saya dapat berlumba dengan lebih baik dalam kejohanan disertai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Oktober 2021 @ 9:08 PM