Muhammad Hakim. FOTO Ihsan Asia Talent Cup
Muhammad Hakim. FOTO Ihsan Asia Talent Cup
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pelumba muda negara Muhammad Hakim Danish Ramli memberi amaran awal dalam saingan Asia Talent Cup 2021 apabila menduduki tempat ketiga dalam perlumbaan pertama sebentar tadi di Litar Antarabangsa Losail, Qatar.

Hakim Danish yang menjuarai MiniGP SIC di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) tahun lalu memberikan tunggangan cemerlang walaupun gagal mempertahankan kelebihan bermula dari petak kedua.

Ketika menuju ke garisan penamat dia bersaing rapat dengan pelumba Jepun, Gun Mie dan hanya dibezakan dengan kurang satu saat untuk penentuan tempat kedua. Juara dalam perlumbaan pertama itu diraih seorang lagi pelumba Jepun, Taiyo Furusato.

Selain Hakim Danish yang berasal dari Terengganu turut membanggakan ialah pencapaian dua lagi pelumba Sharul Ezwan Sharil dan Danial Syahmi Ahmad Shah yang turut menamatkan saingan dalam kelompok 10 terbaik.

Sharul Ezwan yang beraksi di Kejuaraan CEV musim lalu menamatkan perlumbaan di tempat kelima, manakala Danial Syahmi menduduki tempat ketujuh. Perlumbaan kedua akan berlangsung esok.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mac 2021 @ 11:15 PM