DANIAL terlantar setahun di hospital. FOTO Aizuddin Saad
DANIAL terlantar setahun di hospital. FOTO Aizuddin Saad
Aida Adilah Mat


Kuala lumpur: Tidak mudah untuk Danial Syahmi Ahmad Shahril kembali menghangatkan cabaran dalam dunia permotoran.

Jika orang biasa yang terbabit dengan kemalangan ngeri pasti akan membuatkan anda berasa fobia sehingga takut untuk kembali menunggang.

Tapi tidak bagi Danial Syahmi apabila dia bangkit dari kemalangan ngeri yang dialami tiga tahun lalu sehingga mampu untuk menjejaki podium dalam di Asia Talent Cup (ATC).

Pengurus pasukan ZK Racing Zulfahmi Khairuddin mengucapkan jutaan terima kasih kepada ATC kerana memberi peluang untuk Danial berlumba tahun 2021.

"Ia bukanlah satu proses perjalanan pemulihan yang mudah. Lebih 15 kali pembedahan untuk pulihkan kaki dia (Danial).

"Satu tahun menghabiskan masa di hospital. Danial tunjukkan semangat melawan yang sangat tinggi untuk kembali berlumba dan bersaing untuk menang.

"Banyak atlet kita nampak bila diuji mereka akan jatuh dan hilang semangat. Saya tak nampak itu pada Danial.

"Terima kasih semua doktor yang terbabit dalam pemulihan Danial, jururawat, Hospital KLSMC (Pusat Perubatan Sukan Kuala Lumpur) yang percaya dengan Danial.

"13cm tulang kaki Danial tumbuh dalam masa setahun. Terima Kasih pada Sepang Circuit yang menyokong Danial dan Team ZK Racing untuk kembalikan Danial ke litar. Sekarang Danial boleh jalan seperti biasa dan itu yang paling penting," katanya.

Danial pernah terbabit dengan kemalangan ngeri ketika perlumbaan kemuncak musim 2018 di Litar Antarabangsa Sepang sehingga menyaksikan tulang betisnya hancur kira-kira 10 sentimeter.

Susulan kemalangan berkenaan, Danial terpaksa dirawat lebih setahun di KLSMC. Musim lalu, pelumba berusia 18 tahun itu sudah mula kembali berlatih di trek selain menyertai beberapa perlumbaan seperti Pusingan 1 ARRC di SIC, awal Mac tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 April 2021 @ 5:15 PM