JOAN Mir kini mendahului kategori MotoGP. FOTO AFP
JOAN Mir kini mendahului kategori MotoGP. FOTO AFP
Agensi

Aragon: Pendahulu kelas MotoGP, Joan Mir menegaskan tidak akan mengubah strategi dengan memberi fokus kepada kejuaraan dunia pada baki tiga pusingan perlumbaan selepas ini.

Dia kini mengukuhkan kedudukan pendahulu selepas meraih podium ketiga di Grand Prix (GP) Teruel sekali gus menyaksikannya mendahului 14 mata berbanding seteru terdekat, Fabio Quartararo menjelang baki tiga pusingan lagi.

Pelumba Suzuki itu belum pernah memenangi perlumbaan namun kekerapan menaiki podium sebanyak enam kali menyaksikannya mampu mendahulu carta MotoGP selepas pesaing seperti Quartararo, Maverick Vinales dan Andrea Dovizioso gagal menaiki podium pada dua pusingan perlumbaan di Aragon.

Mir menegaskan dia tidak mahu terlalu memikirkan mengenai kejuaraan dunia sambil berkata adalah satu kesilapan besar untuk menukar strategi ketika ini.

"Saya rasa adalah satu kesilapan jika menukar strategi. Tapi kami perlu lebih pantas dan apabila anda mahu menjadi lebih pantas, anda akan sentiasa berdepan risiko.

"Anda boleh melakukan kesilapan. Paling penting adalah mencari keseimbangan untuk risiko yang bakal dihadapi itu.

"Contohnya, pada GP Teruel saya fikir mampu mengejar pelumba di depan tetapi hakikatnya saya gagal. Jadi mengapa saya perlu terus berusaha jika terdapat risiko untuk terbabit dengan kemalangan dan tidak mampu memenangi perlumbaan itu?.

"Kami tidak mahu memikirkan soal kejuaraan ketika ini. Apa yang saya fikirkan adalah untuk fokus pada setiap perlumbaan terlebih dahulu," katanya.

Mir bagaimanapun tidak menafikan sedikit sebanyak menyimpan impian untuk memenangi kejuaraan dunia.

"Saya tidak akan mengubah sebarang strategi dan terus berusaha seperti biasa. Hanya memberikan 100 peratus ketika perlumbaan dan cuba mencari keseimbangan antara risiko dan meraih mata.

"Apabila saingan semakin berakhir, kami perlu lebih bijak menangani situasi dengan cuba mencari peluang terbaik meraih mata semaksimum mungkin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 November 2020 @ 9:00 PM